JIM tahan 96 PATI dalam operasi penguatkuasaan di KK dan Tawau

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan 96 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam beberapa operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan di Kota Kinabalu dan Tawau.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan JIM Sabah berkata, bagi operasi di Kota Kinabalu, seramai 214 individu berjaya diperiksa di beberapa lokasi tumpuan.
Katanya, hasil pemeriksaan seramai 52 warga asing ditahan selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan melanggar syarat pas.
“Tangkapan itu membabitkan 16 lelaki dewasa, 20 wanita dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan warga Filipina,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi bersepadu di daerah Tawau pula berjaya memeriksa seramai 120 individu dan menahan 44 warga asing.
Katanya, antara kesalahan dikesan termasuk tinggal di negara ini tanpa dokumen sah dan melanggar syarat pas yang diberikan.
“Semua yang ditahan terdiri daripada 33 warga Filipina iaitu 31 lelaki dan dua wanita dewasa, manakala 11 lagi adalah warga Indonesia membabitkan enam lelaki serta lima wanita dewasa.
“Semua PATI dibawa ke depot tahanan imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Sehubungan itu, JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan undang-undang imigresen negara terus dipatuhi.

Operasi turut dilaksanakan di kawasan pembinaan dan setinggan yang dikenalpasti tumpuan warga asing