Oleh JOHN TAMBANAN
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mencadangkan supaya jajaran Lebuhraya Pan Borneo Fasa 2 bagi laluan Tamparuli-Ranau melalui Telipok, Kiulu dan Pukak sebelum menuju ke Kilimu, Ranau.
Beliau berkata, jajaran berkenaan perlu dimuktamadkan lebih awal bagi membolehkan perancangan reka bentuk, proses pengambilan tanah dan pemindahan utiliti dilaksanakan secara teratur sebelum kerja pembinaan dimulakan.
“Tuaran mahu jajaran melalui Kiulu dimuktamadkan. Tuaran mencadangkan jajaran bermula dari Telipok, melalui Kiulu dan Pukak, kemudian menuju ke Kilimu, Ranau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Kerja Raya di peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, Isnin.
Madius berkata, cadangan jajaran itu perlu dinilai kementerian berdasarkan aspek keselamatan, keadaan muka bumi dan cerun, kos pelaksanaan serta manfaatnya kepada penduduk setempat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli turut menegaskan kepentingan melibatkan kampung-kampung yang bakal terjejas dalam proses perancangan bagi memastikan urusan pengambilan tanah serta keperluan penduduk dapat dikenal pasti dan ditangani lebih awal.
Katanya, pengalaman kelewatan pelaksanaan projek Pan Borneo sedia ada perlu dijadikan pengajaran supaya isu pengambilan tanah, pemindahan utiliti dan masalah pelaksanaan tidak berulang dalam fasa seterusnya.
“Apakah pendirian kementerian terhadap cadangan ini? Bilakah jajaran boleh dimuktamadkan dan apakah peruntukan pada 2027 bagi kerja-kerja persediaan?” soalnya.
Menurutnya, kepastian mengenai jajaran amat penting bagi membolehkan proses perancangan dilaksanakan lebih awal, selain memastikan kepentingan penduduk di kawasan yang terlibat diberikan perhatian sewajarnya.
Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO Malaysia berkata, pembangunan infrastruktur perlu mengambil kira keperluan masyarakat setempat supaya manfaat projek berkenaan dapat dinikmati penduduk di sepanjang laluan yang dicadangkan.

MADIUS TANGAU







