Penurunan harga diesel bukti kecekapan pendtadbiran kerajaan Madani – Mustapha

SEPANGGAR: Pengumuman penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026 membuktikan bahawa reformasi ekonomi dan langkah penyasaran subsidi yang dilaksanakan Kerajaan Madani kini mula memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar melalui penggunaan MyKad bukan sahaja memastikan subsidi sampai kepada rakyat Malaysia yang layak, malah membantu mengurangkan ketirisan dan penyeludupan yang telah sekian lama menjejaskan keberkesanan sistem subsidi negara.
“Langkah ini juga dilaksanakan ketika dunia masih berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan terhadap pasaran tenaga global.
“Konflik yang berterusan di Asia Barat menuntut negara mengambil pendekatan yang lebih strategik dalam menjamin keselamatan tenaga dan kestabilan ekonomi.
“Dalam konteks ini, usaha Malaysia memperkukuh kerjasama tenaga dengan negara seperti Russia dan Turkmenistan serta jaminan bekalan tenaga yang diperoleh melalui hubungan strategik dengan negara pengeluar tenaga utama membuktikan komitmen Kerajaan Madani dalam memperkukuh ketahanan tenaga negara untuk jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Mustapha, yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, penurunan harga diesel ini juga mencerminkan dasar luar, hubungan antarabangsa serta kecekapan pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam mengurus ekonomi negara secara berhemah, di mana hasil reformasi yang dilaksanakan berjaya mengawal beban kos sara hidup rakyat.
Penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026 dimumumkan Perdana Menteri, bertujuan memastikan semua rakyat negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak dapat menikmati manfaat yang sama.
Perdana Menteri mengumumkan perkara itu dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Cek Penukaran Status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri di Menara Kidurong, di Bintulu, pada Ahad.-John Tambanan.

Mustapha Sakmud.