Kaamatan simbol kesyukuran, keharmonian masyarakat pelbagai kaum

KENINGAU: Sambutan Kaamatan bukan sekadar perayaan meraikan hasil tuaian, tetapi menjadi simbol kesyukuran, perpaduan dan semangat kebersamaan yang telah sekian lama menjadi tunjang keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
Pembantu Menteri Kewangan, Dato’ Sr. Mohd Ishak Ayub berkata, nilai saling menghormati, bekerjasama dan bergotong-royong yang diwarisi sejak turun-temurun perlu terus diperkasakan agar pembangunan yang dikecapi hari ini dapat dinikmati secara bersama oleh seluruh lapisan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Kampung Takad 2026 yang berlangsung meriah di Kampung Takad, Apin-Apin baru-baru ini.
Program tahunan itu dianjurkan secara bersama oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Kampung Takad sebagai platform memperkukuh perpaduan masyarakat, mengeratkan hubungan silaturahim dan memelihara warisan budaya yang menjadi identiti rakyat Sabah.
Mohd Ishak, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor, memuji komitmen penduduk Kampung Takad yang sentiasa berganding bahu menjayakan pelbagai program kemasyarakatan, sekali gus membuktikan bahawa kekuatan sesebuah komuniti terletak pada kesatuan dan semangat kekeluargaan yang utuh.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan dan persembahan tradisional yang mencerminkan kekayaan adat resam serta keunikan warisan masyarakat setempat.
Kehadiran pemimpin bersama rakyat dalam suasana santai dan penuh mesra menambah kemeriahan sambutan, selain mencerminkan hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat yang terus menjadi asas kepada pembangunan serta kesejahteraan komuniti di kawasan Bingkor.-John Tambanan.

MESRA …. Mohd Ishak bersalaman dengan jawatankuasa penganjur setibanya di majlis itu.