TAMPARULI: Lebih 40 penduduk Kampung Molisau, Tenghilan menyertai program English For Employability yang diadakan di Dewan Kampung Molisau sebagai usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dan kemahiran komunikasi bagi memenuhi keperluan dunia pekerjaan.
Program selama lima minggu yang bermula minggu lalu itu dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) serta AMC University College.
Tenaga pengajar, Caroline Duliat, yang juga anak jati Kg Molisau, berkata sambutan menggalakkan daripada peserta membuktikan masyarakat semakin sedar akan kepentingan Bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi dalam pendidikan, pekerjaan dan urusan harian.
“Bahasa Inggeris bukan sahaja membuka peluang pekerjaan yang lebih luas, malah membantu meningkatkan keyakinan diri untuk berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JKKK, KPSTI dan AMC University College atas sokongan dalam menjayakan program berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kg Molisau, Elexter Duari berkata program seumpama itu mampu memanfaatkan masa lapang penduduk, khususnya golongan muda, dengan aktiviti yang membina ilmu dan sahsiah.
Menurutnya, usaha menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dapat melahirkan masyarakat yang lebih berilmu, berdisiplin dan berdaya saing.
“Daripada menghabiskan masa dengan telefon pintar atau permainan video, lebih baik masa itu dimanfaatkan untuk menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran,” katanya.
Bagi peserta, Nancy Julian, 53, penyertaannya dalam program itu berjaya meningkatkan keyakinan untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris.
“Sebelum ini saya malu dan takut melakukan kesilapan ketika bercakap, tetapi kini saya lebih berani mencuba,” katanya.
Program itu turut mendapat penyertaan pelajar sekolah rendah dan menengah yang sanggup menghadiri kelas pada waktu malam, sekali gus mencerminkan kesungguhan komuniti Kampung Molisau dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat serta memperkasakan kemahiran bahasa demi masa depan yang lebih cemerlang.

UNTUK ALBUM …. Para peserta bersama penduduk Kampung Molisau bergambar kenangan selepas mengikuti Program English For Employability di Dewan Kg Molisau.








