Oleh FARDY BUNGGA
KENINGAU: Polis daerah ini berjaya menahan 19 lelaki termasuk lima remaja selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pertubuhan haram dalam operasi bersepadu Op Cantas Bersepadu (Gengsterisme), pada Rabu.
Operasi kira-kira jam 9 malam dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) itu dijalankan di sebuah premis makanan di Jalan Masjid di sini, yang dikenalpasti dijadikan tempat berhimpun kumpulan berkenaan.
Difahamkan, semua ahli kumpulan berusia 14 hingga 59 tahun berkenaan berkumpul di lokasi serbuan bagi memperingati sambutan ulang tahun Kumpulan Kappa Rho Kappa atau Knight’s Of The Right Kepper’s (KRKK) yang diadakan pada 24 Jun setiap tahun.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, berdasarkan siasatan awal, kumpulan berkenaan diwartakan sebagai pertubuhan haram oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 16 Disember 2015.
Katanya, semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, manakala beberapa individu lain turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan fizikal mendapati lima individu yang mempunyai tanda tatu di tangan yang menandakan sebagai ahli kumpulan KRK.
“Selain itu, dua individu lagi didapati memiliki Kad Keahlian KRK dan hanya empat suspek memiliki keterangan diri jenis MyKad, MyPR, MyKAS dan Pasport,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, 15 individu lain didapati tidak memiliki dokumen keterangan diri. Semua suspek mengaku tujuan mereka berkumpul adalah untuk memperingati sambutan ulang tahun pertubuhan berkenaan.
Katanya, pihak polis turut merampas 15 telefon bimbit bagi membantu siasatan lanjut.

Semua 19 suspek ditahan untuk membantu siasat lanjut.






