KOTA KINABALU: Sejajar dengan pengumuman pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di seluruh negara mulai 1 Julai 2026, penggunaan fleet card di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) untuk memanfaatkan subsidi bahan api akan berkuat kuasa.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kewajipan ini meliputi sektor pengangkutan darat awam dan sektor pengangkutan darat barangan yang layak di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.
“Melalui mekanisme ini, kedua-dua sektor berkenaan, dengan jenis kenderaan yang disenaraikan, akan terus menikmati diesel bersubsidi, iaitu pada harga RM1.88 seliter bagi pengangkutan darat awam dan RM2.15 seliter untuk pengangkutan darat barangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Armizan berkata, sebagaimana yang telah diumumkan sebelum ini, pendaftaran menyertai SKDS di ketiga-tiga wilayah ini bagi sektor pengangkutan darat awam telah dibuka sejak 10 Jun 2024, manakala peluasan kepada sektor pengangkutan darat barangan telah dibuka bermula 4 Mei 2026.
Statistik pendaftaran sehingga 22 Jun 2026 bagi syarikat Wilayah Sabah adalah sebanyak 4,062 melibatkan 14,750 kenderaan, Sarawak 4,108 syarikat melibatkan 15,030 kenderaan dan WP Labuan 275 syarikat melibatkan 777 kenderaan. Jumlah keseluruhan syarikat sebanyak 8,445 melibatkan 30,557 kenderaan.
Pendaftaran untuk mendapat manfaat subsidi diesel di bawah SKDS melibatkan dua proses pendaftaran iaitu melalui portal pautan MySubsidi di https://mysubsidi.kpdn.gov.my.
Permohonan yang lengkap dan memenuhi syarat akan menerima surat kelulusan secara serta-merta; dan Surat kelulusan SKDS kemudiannya perlu digunakan untuk memohon fleet card daripada syarikat minyak pilihan.
Armizan berkata, kerajaan mengambil maklum bahawa proses pengeluaran dan penghantaran fleet card oleh syarikat minyak lazimnya mengambil masa antara dua hingga tiga minggu bergantung kepada proses semakan dan pengurusan dalaman syarikat minyak masing-masing.
Sehubungan itu, katanya kerajaan bersetuju membuka ruang untuk permohonan tuntutan bayaran balik tunai diesel di bawah SKDS mulai 1 Julai 2026.
“Kemudahan ini disediakan bagi membolehkan syarikat yang layak di bawah sektor pengangkutan darat awam dan barangan membuat tuntutan perbezaan harga diesel yang telah dibeli pada harga runcit tanpa subsidi dengan harga diesel bersubsidi SKDS yang sepatutnya dinikmati sementara menunggu fleet card diterima,” katanya.-John Tambanan

Foto – Armizan Mohd Ali.





