Remaja ditahan bersama 23 paket syabu

Oleh FARDY BUNGGA

KENINGAU: Polis berjaya menahan seorang remaja lelaki selepas dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah dalam operasi pemeriksaan di Lorong Teratai, di sini.
Dalam kejadian jam 12.39 tengah hari itu, remaja berusia 19 tahun didapati membawa 23 paket dadah yang disimpan di dalam kenderaan Perodua Axia yang dipandunya.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, suspek yang merupakan seorang penganggur ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND).
Katanya, penahanan itu dibuat selepas suspek dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di tepi sebuah kedai alat ganti kenderaan.
“Hasil pemeriksaan berjaya menemukan 23 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki syabu yang disembunyikan di bahagian konsol tengah kenderaan.
“Dadah yang dirampas adalah seberat 5.90 gram dengan dianggarkan bernilai RM649 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, pihak polis turut bertindak menyita kenderaan suspek bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

DITAHAN …. Suspek ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di tepi sebuah kedai alat ganti kenderaan.