Oleh FARDY BUNGGA
SIPITANG: Dua lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan selepas dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan mayat rakan mereka yang ditemui dengan kesan tembakan.
Dalam kejadian 3 Julai lalu, mangsa dikatakan keluar memancing dan memburu di kawasan hutan Kampung Takula, di sini, sebelum dilaporkan hilang.
Bagaimanapun, hasil soal siasat terhadap dua rakannya membawa kepada penemuan mayat mangsa dalam keadaan dibalut dengan kanvas kira-kira satu kilometer dari kampung berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintendan Awang Anak Suand berkata, kes berkenaan pada awalnya diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.
Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut yang dijalankan pihak polis membawa kepada penahanan kedua-dua suspek.
“Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa yang dibalut menggunakan kanvas di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati tindakan membungkus mayat itu dipercayai dilakukan suspek kerana panik dan takut selepas kejadian berlaku,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Awang berkata, polis turut merampas dua laras senjata api buatan sendiri jenis bakakuk daripada suspek semalam bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua suspek yang juga lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.
Terdahulu, mangsa keluar bersama dua rakannya ke kawasan hutan Kampung Takula untuk memancing dan memburu.
Mangsa kemudiannya disedari tidak pulang ke rumah dan ahli keluarganya terus membuat laporan polis pada 8 Julai lalu.

DITEMUI …. Mayat mangsa ditemui dibungkus dengan kanvas sebelum ditinggalkan di kawasan hutan berkenaan.








