KOTA KINABALU: Susulan gangguan bekalan air yang berlarutan di Kota Kinabalu, Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Sim Fui, telah mengatur penghantaran sebuah lori tangki yang membawa 9,000 liter air minuman bersih ke kawasan perniagaan Segama di pusat bandaraya bagi membantu para peniaga yang terjejas.
Menurut Sim Fui, yang juga Pengerusi LDP Bahagian Api-Api, krisis bekalan air yang berpanjangan telah memberi kesan serius kepada operasi harian para peniaga.
Ramai pengusaha restoran, premis runcit serta sektor perkhidmatan menghadapi kesukaran menjalankan operasi kerana kekurangan bekalan air untuk tujuan pembersihan, perniagaan dan kegunaan asas, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka serta menyusahkan orang ramai.
Beliau berkata, Kota Kinabalu sebagai ibu negeri Sabah, pintu masuk utama negeri serta destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa seharusnya mempunyai sistem bekalan utiliti yang stabil dan boleh dipercayai.
“Selama bertahun-tahun, rakyat Kota Kinabalu telah berdepan dengan masalah bekalan elektrik yang tidak stabil, dan kini mereka turut menghadapi krisis bekalan air yang serius. Keadaan ini menambahkan lagi beban kepada para peniaga dan warga kota.
“Sesebuah bandaraya pelancongan bertaraf antarabangsa tidak sepatutnya berdepan dengan kegagalan menyediakan bekalan air dan elektrik yang konsisten.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup rakyat, malah boleh menjejaskan imej Sabah di mata pelancong serta mengurangkan keyakinan pelabur terhadap persekitaran perniagaan di negeri ini,” katanya.
Sim Fui menggesa Kerajaan Negeri Sabah serta agensi-agensi berkaitan supaya memandang serius krisis bekalan air yang sedang berlaku dan mengambil langkah penyelesaian segera serta jangka panjang bagi memperkukuhkan sistem bekalan air, demi memastikan Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya menerima bekalan air yang stabil, berterusan dan selamat tanpa perlu terus bergantung kepada penghantaran air kecemasan.
Beliau berkata, walaupun bantuan penghantaran air pada hari ini hanya mampu memberi kelegaan sementara kepada sebahagian peniaga yang terjejas, beliau berharap usaha tersebut dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak pihak untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Pada masa yang sama, beliau berharap kerajaan dapat mempercepatkan usaha menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh agar kejadian yang sama tidak terus berulang.
Sim Fui turut menegaskan bahawa beliau akan terus memantau isu-isu kebajikan rakyat di Kota Kinabalu, menyuarakan pandangan dan keluhan masyarakat kepada pihak berkuasa yang berkaitan, serta membantu golongan yang terjejas sedaya upaya demi kesejahteraan rakyat.-John Tambanan.

Sim Fui (berdiri) membantu mengagihkan air bersiah kepada peniaga d kawasan perniagaan Segama.





