Oleh FARDY BUNGGA
PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas maut selepas dilaporkan dirempuh pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Bundusan, di sini, semalam.
Dalam kejadian awal pagi berkenaan, mangsa berusia 77 tahun terbabit dilaporkan tercampak ke dalam longkang dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil siasatan awal, kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda yang dipandu oleh lelaki berusia 52 tahun.
Katanya, pacuan empat roda berkenaan dikatakan bergerak dari arah Jalan Bundusan menuju ke Taman Adamas.
“Bagaimanapun, setibanya di lokasi, kenderaan berkenaan dipercayai terlanggar mangsa yang ketika itu sedang berjalan kaki sehingga tercampak ke longkang di bahu jalan.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Sammy meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan agar menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Saparia Landon di talian 019-809 5133 bagi membantu siasatan.

MAUT …. Mangsa dilaporkan tercampak ke dalam longkang selepas dirempuh pacuan empat roda berkenaan.




