PROGRAM Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (Pantas) merupakan inisiatif kerajaan bagi mempercepatkan kerja-kerja pengukuran tanah Anak Negeri yang telah diluluskan, seterusnya memudahkan proses pengeluaran hak milik tanah kepada pemohon yang layak.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasneh berkata, bagi tempoh tahun Januari 2020 hingga Jun 2026, Program Pantas telah menerima peruntukan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM83 juta.
Katanya, di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) 2026-2030, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta.
“Pada tahun 2026, peruntukan berjumlah RM1 juta telah pun disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur bagi pelaksanaan program tersebut.
“Sebanyak 53 pasukan Juruukur telah ditugaskan untuk menjalankan kerja-kerja pengukuran tanah di seluruh daerah,” katanya pada hari kedua persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini.
Beliau menjawab pertanyaan Adun Usukan, Isnaraissah Munirah Majilis yang bertanya berapakah jumlah peruntukan, bilangan kakitangan teknikal, serta keluasan tanah yang telah berjaya diukur di bawah Program PANTAS di seluruh Sabah dan bagi daerah Kota Belud daripada tahun 2020 hingga 2025.
Isnin berkata, sepanjang Januari 2020 hingga Jun 2026, Program Pantas telah berjaya mengukur sebanyak 25,591 lot yang melibatkan keluasan keseluruhan 33,891.181 hektar di seluruh negeri Sabah.
Katanya, di daerah Kota Belud, sebanyak empat pasukan Juruukur telah ditugaskan untuk menjalankan pengukuran Program Pantas.
“Dalam tempoh tersebut, sebanyak 5,347 lot yang melibatkan keluasan 2,998.590 hektar telah berjaya diukur,” katanya.
Isnin berkata, jumlah permohonan tanah (PT) setakat pada 30 Jun 2026 adalah sebanyak 26,808 permohonan yang masih dalam tindakan di peringkat pejabat tanah daerah di seluruh Sabah.
Menurutnya, dari Januari 2020 hingga Jun 2026, Program Pantas telah berjaya mengukur sebanyak 25,591 lot yang melibatkan keluasan keseluruhan 33,891.181 hektar di seluruh negeri Sabah.
“Di daerah Kota Belud, sebanyak empat pasukan Juruukur telah ditugaskan untuk menjalankan pengukuran Program Pantas.
“Dalam tempoh tersebut, sebanyak 5,347 lot yang melibatkan keluasan 2,998.590 hektar telah berjaya diukur,” katanya.
Isnin berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur Sabah sentiasa berusaha mempercepatkan pemprosesan permohonan tanah dan pengeluaran geran tanah kepada pemohon tanah yang layak.
Katanya, antara langkah yang sedang dan akan terus dilaksanakan termasuk memperkukuh pemantauan permohonan tanah di setiap peringkat pemprosesan dan mempercepatkan tindakan pengukuran permohonan tanah yang telah diluluskan berdasarkan program pengukuran tanah secara sistematik dan menggunakan peralatan ukur moden.
Di samping itu, katanya penggunaan sistem pendigitalan jabatan turut diperkasakan bagi meningkatkan kecekapan pemprosesan serta prosesproses berkaitan pengeluaran geran tanah.
Walau bagaimanapun, katanya tempoh penyelesaian setiap permohonan tanah adalah bergantung kepada beberapa faktor, antaranya status tanah yang dipohon, isu pertindihan permohonan tanah, keperluan melaksanakan siasatan serta semakan teknikal, kekangan tenaga kerja untuk pengukuran tanah dan semakan kerja ukur, pematuhan kepada peruntukan perundangan di bawah Ordinan Tanah Sabah Bab 68 serta dasar Kerajaan Negeri yang berkuat kuasa.
Katanya, bagi menangani kekangan tenaga kerja dalam pelaksanaan kerja-kerja pengukuran tanah, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur turut mengambil langkah untuk mengisi sebanyak 30 jawatan Penolong Juruukur Gred J5. Jawatan-jawatan tersebut kini sedang dalam proses pengiklanan bagi tujuan lantikan baharu.
“Pengisian jawatan ini dijangka dapat menambah kapasiti tenaga teknikal jabatan, khususnya dalam mempercepatkan kerja pengukuran tanah di seluruh Sabah.
“Kerajaan Negeri kekal komited untuk mempercepatkan penyelesaian permohonan tanah dan pengeluaran geran Anak Negeri kepada rakyat yang layak secara teratur, telus dan berlandaskan undang-undang,” katanya.

Foto – Isnin Aliasneh






