Iktiraf Pantas di bawah RMK13 – Donald

KOTA KINABALU: Program Pengukuran Tanah Adat Negeri Sabah (Pantas) tidak lagi wajar dilihat sebagai sekadar satu program pentadbiran Jabatan Tanah dan Ukur.
Sebaliknya, ia perlu diangkat sebagai agenda strategik pembangunan Negeri Sabah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin.
Sehubungan itu beliau menggesa Kerajaan Negeri supaya mengiktiraf Program Pantas sebagai salah satu agenda utama pembangunan Sabah di bawah RMK13.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan pada pesidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Selasa.
Donald juga menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mengiktiraf penyelesaian isu tanah di Sabah sebagai sebahagian daripada pelaksanaan semangat dan roh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, ia kerana pembangunan luar bandar tidak mungkin dapat dipercepatkan sekiranya isu pemilikan tanah terus berlarutan.
“Ekonomi luar bandar tidak dapat berkembang sepenuhnya tanpa kepastian hak milik. Anak-anak muda Sabah juga tidak akan dapat membina masa depan yang lebih baik sekiranya tanah warisan keluarga mereka masih belum mempunyai geran yang sah.
“Dalam erti kata yang sebenar, memperkukuhkan sistem pemilikan tanah adalah sebahagian daripada usaha memperkasakan rakyat Sabah selaras dengan semangat MA63,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan beberapa cadangan kepada Kerajaan Persekutuan supaya menyediakan Peruntukan Khas Program Pantas di bawah Rolling Plan RMK13.
Donald berkata, Sabah mempunyai keluasan hampir 74,000 kilometer persegi. Kawasan luar bandar dan pedalaman yang luas menyebabkan kos pengukuran jauh lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain.
“Tambahan pula, masih terdapat jumlah permohonan tanah yang sangat besar yang belum dapat diselesaikan.
“Semua ini memerlukan tambahan tenaga kerja profesional, penggunaan teknologi pengukuran moden, peralatan terkini serta sistem pentadbiran tanah yang lebih cekap,” katanya.
Selain itu katanya, Kerajaan Persekutuan perlu menubuhkan Dana Khas Pembangunan Tanah Sabah di bawah RMK13 bagi membiayai usaha mempercepatkan pengukuran tanah, pembangunan pangkalan data tanah, pendigitalan rekod, pemodenan sistem pentadbiran tanah dan penggunaan teknologi geospatial.
“Dana ini bukanlah satu bentuk keistimewaan, tetapi merupakan pelaburan strategik demi mempercepatkan pembangunan Sabah,” katanya.
Donald berkata, Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan hendaklah menetapkan Pelan Tindakan Khas Pantas sepanjang tempoh RMK13 dengan sasaran tahunan yang jelas, petunjuk prestasi utama (KPI) yang boleh diukur serta laporan kemajuan yang dibentangkan secara berkala.
“Dengan pendekatan ini, rakyat dapat melihat kemajuan sebenar pelaksanaan program tersebut,” katanya.
Selain itu katanya, Kerajaan Negeri hendaklah memberi keutamaan kepada permohonan tanah yang telah lama tertangguh, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Rakyat yang telah menunggu selama berpuluh-puluh tahun sewajarnya diberikan keutamaan,” katanya.

Foto – Donald Mojuntin