JANS diminta bertindak segera atasi isu air di Tg Keramat

JABATAN Air Negeri Sabah (JANS) digesa melaksanakan tindakan segera bagi menangani isu gangguan bekalan dan tekanan air rendah di beberapa lokaliti di kawasan Tanjung Keramat.
Ahli Dewan Undangan (Adun) N.24 Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, ini berikutan terdapat isu sistem agihan air sehingga mengakibatkan kira-kira 10,000 hingga 25,000 orang penduduk di Kg Meruntum, Kg Muhibbah, Kg Contoh, Taman Pantai Lok Kawi, Pasir Putih dan sekitarnya baru-baru ini.
Beliau berkata, JANS yang sebelumnya telah mendapat peruntukkan tambahan terbesar setakat ini daripada Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah melibatkan dana sebanyak RM201 juta di mana SAY berharap ianya dapat diagihkan bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.
“Ini adalah isu lapuk yang amat menyusahkan kehidupan harian penduduk.
“Dianggarkan antara 10,000 hingga 25,000 penduduk di sekitar daerah Putatan terkesan teruk apabila sistem agihan air gagal berfungsi, terutamanya pada waktu puncak.
“Kita menyedari bahawa kerajaan telah melaksanakan langkah jangka pendek seperti perluasan kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Kasigui.
“Walau bagaimanapun, isu penstabilan tekanan dalam rangkaian paip agihan di Putatan masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.
“Justeru, dengan adanya peruntukan tambahan RM201 juta ini, saya menggesa Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah serta Jabatan Air Negeri Sabah untuk memastikan dana ini dibelanjakan secara bersasar bagi kawasan Putatan, “katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan Tambahan (2026) sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.
Dalam perbahasan yang sama, beliau turut mendedahkan tuntutan bagi usaha menyelesaikan kemelut bekalan air di kawasan berkenaan seperti menggantikan sistem perpaipan yang uzur dan usang, penyelenggaraan sistem pam penggalak serta memberikan garis masa tempoh penyiapan pemulihan bekalan air di Tg Keramat.
“Selain itu, saya menuntut agar JANS bersikap lebih proaktif dan sentiasa bersiap siaga dalam menangani isu air yang menjadi keluhan utama rakyat di Tanjung Keramat dan seluruh daerah Putatan.
“JANS mesti bertindak pantas untuk menyelesaikan setiap aduan yang diterima. Pastikan pegawai bertugas di peringkat daerah sentiasa mudah dihubungi dan bersedia turun padang apabila krisis berlaku.
“Rakyat mahu melihat peruntukan ratusan juta yang kita luluskan ini diterjemahkan kepada hasil kerja yang efisien, cepat, dan berimpak nyata di lapangan, “katanya.

Shah Alfie