Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Tahun Melawat Sabah 2027 (TMS2027) telah diangkat sebagai agenda strategik Kerajaan Negeri untuk memfokuskan kepada peningkatan ketibaan pelancong, Kata Menteri Pelacongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Airffin.
Katanya, TMS2027 juga bertujuan merancakkan pertumbuhan ekonomi secara inklusif merentasi pelbagai sektor, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pemain industri pelancongan, pengusaha pelancongan komuniti serta usahawan tempatan di seluruh Sabah.
“Sungguhpun konflik geopolitik telah memberikan impak dan kesan secara langsung kepada sektor pelancongan negeri ini, kementerian masih komited untuk menerajui agenda Kerajaan Negeri,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Rabu.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang, Samuel Wong Tshun Chuen yang bertanya, apakah perancangan kementerian bagi memastikan TMS2027 disertai program pembangunan ekonomi yang memberi manfaat kepada PKS, pemain industri pelancongan, pengusaha pelancongan komuniti dan usahawan tempatan di seluruh Sabah.
Jafry berkata, kementeriannya sedang merangka pendekatan menyeluruh yang memberi penekanan kepada pembangunan rantaian nilai pelancongan, termasuk sektor penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, kraftangan serta produk pelancongan berasaskan komuniti, agar manfaat ekonomi dapat diagihkan secara lebih meluas hingga keperingkat akar umbi.
Katanya, sesi libat urus sedang dilaksanakan pada ketika ini kepada para pemain industri serta stakeholders dalam meneliti serta berkongsi program dan aktiviti yang akan dilaksanakan bersempena kempen ini.
“Bagi memastikan penyertaan aktif semua pihak, Kementerian melalui Lembaga Pelancongan Sabah akan mempergiat usaha promosi dan pemasaran secara bersasar bagi kempen Tahun Melawat Sabah ini, termasuk membantu memasarkan pakej pelancongan tempatan, memperluas akses pasaran kepada pengusaha kecil, serta menyediakan insentif dan sokongan promosi kepada pemain industri, khususnya PKS dan komuniti setempat,” katanya.
Sementara itu, menjawab pertanyaan Adun Paginatan, Datuk Haji Rusdin@ Musidi Riman, Jefry berkata, Projek Muzium Tamadun dan Warisan Etnik Dusun Ranau kini sedang dalam fasa pelaksanaan semula.
Katanya, kerajaan telah melantik kontraktor baharu bagi meneruskan projek ini, dan kerja-kerja pembinaan telah bermula pada 4 Mac 2025 dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan, iaitu dijangka siap sepenuhnya pada bulan Mac 2027.
“Kos keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM3.5 juta. Sehingga akhir bulan Jun 2026, kemajuan fizikal projek adalah sebanyak 50 peratus, dan pelaksanaannya adalahmengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.
“Kementerian saya komited dalam memastikan projek ini dilaksanakan dengan lancar memandangkan kepentingannya sebagai pusat pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya etnik.
“Projek ini juga berpotensi menjadi salah satu tarikan pelancongan berasaskan budaya yang dapat memperkasa ekonomi komuniti setempat,” katanya.
Sehubungan itu, katanya pelaksanaan projek ini akan terus dipantau secara berkala oleh Kementerian bersama Jabatan Muzium Negeri Sabah bagi memastikan kualiti, kemajuan serta pematuhan kepada spesifikasi yang telah ditetapkan.

Jafry Ariffin








