KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin mencadangkan pelaksanaan Shore Power atau Onshore Power Supply (OPS), satu inisiatif strategik yang mampu meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan-pelabuhan Sabah, mengurangkan pencemaran dan menjadikan Sabah peneraju Pelabuhan Hijau (Green Port) di Malaysia.
Beliau berkata, pada masa ini, kebanyakan kapal yang berlabuh masih perlu menghidupkan enjin bantuan bagi menjana bekalan elektrik untuk keperluan operasi. Walaupun kapal tidak bergerak, diesel terus dibakar, sekali gus meningkatkan kos operasi dan mencemarkan alam sekitar.
“Melalui Shore Power, kapal boleh mematikan enjin bantuan dan mendapatkan bekalan elektrik terus daripada grid di darat. Teknologi ini kini menjadi amalan di banyak pelabuhan utama dunia,” katanya ketika menyampaikan ucapan perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Donald berkata, Sabah mempunyai pelabuhan strategik seperti Sepanggar, Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu. Pelaksanaan Shore Power di pelabuhan-pelabuhan ini akan membawa manfaat yang besar.
“Pertama, mengurangkan penggunaan bahan api dan kos operasi kapal, sekali gus mengurangkan penyelenggaraan enjin. Ini memberi manfaat kepada syarikat perkapalan dan meningkatkan daya saing pelabuhan kita.
“Kedua, mengurangkan pelepasan karbon dan pencemaran udara, termasuk CO₂ serta gas-gas yang tidak sihat. Ini amat penting bagi negeri seperti Sabah yang terkenal dengan biodiversiti dan industri pelancongannya.
“Ketiga, mengurangkan bunyi bising daripada enjin kapal, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selesa di pelabuhan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti berhampiran,” katanya.
Donald, yang juga Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPS) berlata, hari ini semakin banyak syarikat perkapalan antarabangsa memilih pelabuhan yang mempunyai kemudahan mesra alam. Pelaksanaan Shore Power akan meningkatkan daya saing pelabuhan Sabah dan selaras dengan prinsip ESG, Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) serta komitmen negara mengurangkan pelepasan karbon.
“Lebih menarik lagi, Sabah mempunyai potensi besar dalam tenaga boleh baharu seperti solar dan hidro. Pada masa hadapan, Shore Power boleh disokong oleh sumber tenaga hijau ini, menjadikannya lebih mampan.
“Saya akui pelaksanaan Shore Power memerlukan pelaburan awal, naik taraf infrastruktur elektrik dan kerjasama antara Sabah Electricity, Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, operator terminal serta syarikat perkapalan.
“Namun, kos ini perlu dilihat sebagai pelaburan strategik jangka panjang, kerana manfaat ekonomi, alam sekitar dan daya saing yang bakal diperoleh jauh melebihi kos permulaan,” katanya.-John Tambanan.

Foto – Donald







