KOTA KINABALU: Pelabuhan mesti menjadi sebahagian daripada strategi pembangunan perindustrian negeri sekiranya Sabah mahu meningkatkan sumbangan sektor pembuatan kepada ekonominya.
Perkara itu dinyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius semasa berucap dalam perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (Pindaan) 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Madius berkata Sabah memerlukan sebuah ekonomi yang lebih berdaya tahan dan ekonomi berdaya tahan itu ialah ekonomi yang mempunyai sektor pembuatan yang kukuh.
“Sumbangan sektor pembuatan kepada ekonomi Sabah masih sekitar 7.2 peratus, jauh lebih rendah berbanding Pulau Pinang, Selangor dan Johor.
“Jika Sabah benar-benar mahu meningkatkan sumbangan sektor pembuatan sehingga melebihi 30 peratus pada masa hadapan, maka pelabuhan mesti menjadi sebahagian daripada strategi tersebut,” katanya.
Pengerusi POIC Sabah Sdn. Bhd. itu berkata, tanpa pelabuhan yang cekap dan mesra pelabur, matlamat itu sukar dicapai.
Beliau turut mengingatkan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah supaya tidak lagi dilihat semata-mata sebagai badan kawal selia, sebaliknya berkembang menjadi organisasi yang memudah cara pelaburan.
“Pelabuhan bukan sekadar infrastruktur pengangkutan tetapi merupakan pintu masuk pelaburan, pemangkin sektor pembuatan dan nadi perdagangan antarabangsa.
“Pelabuhan mesti menjadi rakan strategik kepada sektor pembuatan, logistik, eksport dan semua agensi yang berusaha membawa pelaburan ke Sabah,” tambah Madius lagi.-John Tambanan.

Foto – Madius Tangau




