Donald kemuka dua cadangan reformasi perkasa MHEANS

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Mojuntin mengemukakan dua cadangan reformasi bagi memperkasa Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) supaya menjadi institusi yang lebih berwibawa dan berkesan.
Beliau berkata, reformasi pertama ialah memperkasakan MHEANS sebagai badan pemikir strategik (think tank) Kerajaan Negeri dalam hal ehwal Anak Negeri.
Menurutnya, walaupun pindaan Seksyen 4 Rang Undang-Undang Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (Pindaan) 2026 memperluaskan fungsi MHEANS kepada pendidikan adat dan undang-undang adat, peranannya perlu diperkukuh agar tidak hanya memberi pandangan apabila diminta.
“MHEANS perlu sentiasa menjalankan penyelidikan, menyediakan cadangan dasar serta menerajui pembaharuan institusi berkaitan hal ehwal Anak Negeri,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.
Beliau berkata, antara fungsi baharu yang boleh dipertimbangkan ialah menggubal dasar pembangunan jangka panjang masyarakat Anak Negeri, menjalankan penyelidikan mengenai undang-undang adat dan adat resam, mengkaji dasar atau rang undang-undang yang memberi kesan kepada masyarakat Anak Negeri, menerajui reformasi Mahkamah Anak Negeri serta menerbitkan Laporan Tahunan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.
Pada masa sama, katanya, Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) perlu terus berperanan sebagai agensi pelaksana yang mengurus pentadbiran, operasi dan penyampaian perkhidmatan.
“Ringkasnya, MHEANS menggubal dasar dan memberi nasihat strategik, manakala JHEANS melaksanakan dasar secara profesional,” katanya.
Donald berkata, reformasi kedua ialah memperluaskan komposisi keanggotaan MHEANS supaya lebih inklusif dan mencerminkan kepelbagaian kepakaran di Sabah.
Beliau mencadangkan agar kerajaan melantik wakil pelbagai etnik Anak Negeri, pakar undang-undang adat, wakil Mahkamah Anak Negeri, ahli akademik, wakil wanita dan belia Anak Negeri, selain pakar dalam bidang pendigitalan, pemeliharaan warisan, dasar awam dan tadbir urus.
Menurutnya, gabungan kepakaran tersebut akan menjadikan MHEANS lebih dinamik, berwibawa serta mampu menghasilkan penyelidikan dan dasar yang memenuhi keperluan masyarakat Anak Negeri.
Beliau turut mencadangkan penyediaan Sabah Native Affairs Transformation Blueprint 2035 sebagai pelan induk jangka panjang untuk mentransformasikan MHEANS, Mahkamah Anak Negeri dan JHEANS selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Institusi Anak Negeri merupakan warisan unik Sabah yang perlu diperkukuh. Dengan memperkasakan MHEANS sebagai badan pemikir strategik serta memperluaskan keanggotaannya berasaskan kepakaran dan keterangkuman, kita mampu mewujudkan institusi yang menjadi peneraju dasar dan reformasi hal ehwal Anak Negeri di Sabah,” katanya.

Donald Mojuntin