Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Kerjasama antara jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan pembangunan sektor pertanian, perikanan, penternakan dan agromakanan Sabah dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, setiap agensi perlu saling melengkapi dengan memanfaatkan kepakaran, kemudahan dan fasiliti yang dimiliki, bukannya bersaing.
Katanya, kemudahan seperti makmal analisis nutrien, latihan pemprosesan hasil pertanian dan perikanan serta fasiliti pemprosesan makanan boleh dimanfaatkan bersama bagi membantu petani, nelayan, penternak dan usahawan agro meningkatkan nilai produk mereka.
Beliau berkata demikian selepas Program Ramah Mesra bersama Jabatan dan Agensi KPKM Inc. Sabah, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, hasil sesi libat urus itu, semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersetuju memperkukuh kerjasama demi memastikan manfaat dapat disalurkan kepada masyarakat luar bandar.
Dalam perkembangan lain, Jamawi menegaskan Kerajaan Negeri tetap menolak pelaksanaan mekanisme BUDI MySubsidi Diesel selagi cadangan penambahbaikan bagi mengambil kira keperluan Sabah belum dipersetujui Kerajaan Persekutuan.
Katanya, beberapa cadangan termasuk isu pertukaran nama pemilik kenderaan dan kes pembelian secara sambung bayar telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan Persekutuan dan kini menunggu maklum balas.
Beliau berkata, pelaksanaan mekanisme itu menjejaskan petani apabila jentera ladang tidak layak menerima subsidi diesel, sekali gus meningkatkan kos operasi serta menjejaskan usaha meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran beras Sabah.
Jamawi turut menggesa penyelarasan harga belian padi, subsidi penuaian dan insentif kepada pesawah Sabah agar setara dengan Semenanjung bagi memastikan keadilan kepada petani serta merangsang pengeluaran beras negeri.

JAMAWI (tengah) bersalaman dengan warga kerja KPKM Inc. Sabah ketika tiba di Bilik Perreirarra MARDI, Kota Kinabalu.





