Keyakinan rakyat terhadap kepimpinan baharu PBS Tambunan semakin meningkat

TAMBUNAN: Kepimpinan baharu Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Tambunan yang diterajui Dr. Rockey Jerome Budin terus menerima sambutan positif apabila semakin ramai masyarakat menyatakan hasrat untuk menyertai parti itu.
Menurut Dr. Rockey, selepas pemilihan bahagian selesai diadakan, beliau menerima banyak panggilan daripada individu yang ingin menjadi ahli PBS, termasuk bekas ahli yang sebelum ini meninggalkan parti tetapi kini berhasrat kembali meneruskan perjuangan bersama.
Beliau berkata, perkembangan itu mencerminkan peningkatan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan baharu PBS Tambunan, sekali gus membuktikan parti itu terus mendapat kepercayaan masyarakat.
“PBS sentiasa mengamalkan dasar keterbukaan dan pintu perjuangan parti sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang ikhlas ingin menyertai atau kembali bersama memperjuangkan masa depan rakyat Sabah.
“Pintu rumah PBS sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin bersama-sama berjuang dengan kita. Sama ada ahli baharu mahupun bekas ahli yang ingin kembali, kita menerima mereka dengan hati yang terbuka.
“Apa yang paling penting ialah keikhlasan, perpaduan dan komitmen untuk mengukuhkan parti serta berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Bahagian, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita PBS Tambunan bagi sesi 2026–2029 di Bilik Mesyuarat Hotel Nucifera, Tambunan.
Dr. Rockey berkata, penyertaan ahli baharu serta kembalinya bekas ahli akan terus memperkukuhkan organisasi parti di semua peringkat, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan jentera PBS Tambunan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli supaya mengenepikan perbezaan, memperkukuhkan perpaduan dan memberikan sokongan padu kepada kepimpinan baharu demi memastikan perjuangan PBS terus relevan serta mendapat kepercayaan rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli parti yang terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada kepimpinan baharu PBS Tambunan.
Katanya, sokongan padu daripada akar umbi menjadi pemangkin kepada usaha mengembalikan kegemilangan PBS di Tambunan.-John Tambanan.

ALBUM ….. Dr. Rockey (duduk, tengah) bergambar bersama barisan Ahli Jawatankuasa Bahagian, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita PBS Tambunan bagi sesi 2026–2029 selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan.