Oleh JOHN TAMBANAN
TAMBUNAN: Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Tambunan, Dr Rockey Jerome Budin menegaskan watikah pelantikan yang diterima barisan kepimpinan baharu bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya satu amanah besar untuk memperkukuh perpaduan parti, memperkasa organisasi serta meneruskan perjuangan membela hak dan kepentingan rakyat Sabah, khususnya di Tambunan.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyampaian watikah pelantikan kepada 52 Ahli Jawatankuasa Bahagian, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita PBS Tambunan bagi sesi 2026–2029 di Hotel Nucifera, di sini.
“Watikah pelantikan ini melambangkan amanah, tanggungjawab dan komitmen untuk meneruskan perjuangan parti di peringkat akar umbi. Ia juga mencerminkan kesetiaan serta kesediaan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan oleh parti,” katanya.
Menurut beliau, upacara angkat sumpah jawatan yang berlangsung turut menggambarkan iltizam barisan kepimpinan baharu untuk mematuhi perlembagaan parti, menjunjung disiplin organisasi, menjaga kerahsiaan parti serta melaksanakan tugas dengan penuh integriti, dedikasi dan semangat perjuangan.
Dr Rockey berkata, kekuatan sesebuah parti tidak hanya bergantung kepada pemimpin, sebaliknya terletak pada kesungguhan seluruh jentera yang bergerak secara tersusun, berdisiplin dan mempunyai matlamat perjuangan yang jelas.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua pemimpin yang dilantik supaya terus memperkukuh semangat kerja berpasukan, saling melengkapi dan sentiasa mendekati rakyat tanpa mengira latar belakang.
Pada masa sama, beliau menggesa Ahli Jawatankuasa Bahagian, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Wanita serta ketua-ketua cawangan PBS di seluruh Tambunan supaya memperkukuh jentera parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, setiap cawangan perlu diaktifkan segera, mesyuarat akar umbi diperkasakan, keahlian baharu dipertingkatkan dan program turun padang dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan hubungan antara parti dengan rakyat terus kukuh.
“Persediaan menghadapi pilihan raya tidak boleh dilakukan pada saat akhir, sebaliknya perlu dimulakan sekarang melalui gerak kerja yang sistematik, semangat berpasukan dan komitmen tinggi daripada seluruh kepimpinan parti,” katanya.

AMANAH …. Dr Rockey (kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada Philip Yaditing sebagai Ketua Penerangan PBS Bahagian Tambunan pada majlis penyampaian watikah pelantikan kepimpinan baharu bahagian itu.






