Oleh FARDY BUNGGA
BEAUFORT: Seorang lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes cabul anak tiri dan sumbang mahram anak kandung.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki warganegara asing bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek berusia 30-an terbabit kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Siasatan bermula selepas pihak polis menerima laporan daripada mangsa pertama, iaitu anak tiri suspek yang juga merupakan seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Kota Kinabalu.
“Mangsa tampil membuat laporan polis selepas dicabul kerana berasa terancam dan bimbang akan keselamatan dirinya sekiranya pulang ke kampung halaman,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, hasil siasatan awal yang dijalankan membawa kepada pembongkaran satu lagi jenayah yang lebih berat iaitu melibatkan kes sumbang mahram anak kandung suspek.
Katanya, suspek disyaki merogol anak kandungnya sendiri secara berterusan sejak mangsa berusia tujuh tahun.
“Rentetan daripada pembongkaran itu, anak kandung suspek yang kini masih bersekolah turut tampil membuat laporan polis secara rasmi.
“Pihak polis telah membuka dua kertas siasatan berasingan mengikut peruntukan undang-undang Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
“PDRM memandang serius kes-kes seumpama ini dan komited untuk mengambil tindakan tegas tanpa belas kasihan demi memastikan keadilan buat mangsa,” katanya.
Sehubungan itu, Champin menyeru masyarakat agar tidak mendiamkan diri sekiranya mempunyai maklumat atau menjadi mangsa penganiayaan, penderaan, mahupun jenayah seksual.
“Segera laporkan kepada pihak polis agar tindakan pantas dapat diambil bagi menyelamatkan mangsa dan mengheret pelaku ke muka pengadilan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi atau toleransi terhadap mana-mana pelaku jenayah seksual, terutamanya kes yang melibatkan ahli keluarga terdekat dan mangsa bawah umur,” tegasnya.

Suspek warga asing berusia 30-an ditahan untuk siasatan lanjut.






