LAHAD DATU: Sebuah rumah separuh konkrit dua tingkat di Kampung Sepagaya musnah kira-kira 90 peratus dalam kebakaran yang berlaku pada jam 2.44 petang, pada Rabu.
Komander Operasi, PBK II Abdul Salam Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS 999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 2.52 petang.
Menurutnya, kebakaran turut menyebabkan sebuah kenderaan Toyota Hilux yang diletakkan berhampiran mengalami kerosakan akibat bahang api.
“Operasi pemadaman menggunakan air laut kerana faktor lokasi kejadian dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.31 petang sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.11 petang,” katanya.
Seramai 12 anggota bomba terlibat dalam operasi itu dengan bantuan dua anggota polis, enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dua petugas Sabah Electricity.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut, manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

OPERASI …. Anggota bomba menjalankan kerja-kerja memadam sisa kebakaran sebuah rumah di Kampung Sepagaya, Lahad Datu, pada Rabu.






