Oleh John Tambanan
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus mengutamakan pengukuhan sektor tenaga sebagai antara agenda strategik pembangunan Sabah bagi memastikan bekalan elektrik yang mencukupi, stabil, mampan dan mampu milik untuk rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan bukan sahaja perlu memastikan bekalan elektrik sentiasa mencukupi dan berdaya harap, malah membangunkan sistem tenaga yang lebih cekap, mampan serta mampu memberi manfaat kepada generasi akan datang.
“Atas sebab itu, kerajaan negeri telah menetapkan Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040) sebagai hala tuju strategik pembangunan sektor tenaga Sabah.
“Pelan ini menjadi panduan dalam memperkukuh keselamatan tenaga, mempelbagaikan sumber tenaga, meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu serta memastikan pembangunan sektor tenaga terus menyokong aspirasi ekonomi negeri.
“Usaha ini juga bagi memastikan bekalan elektrik di Sabah kekal mencukupi, stabil, berdaya harap dan mampu milik selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negeri,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam pada Majlis Peluncuran Tenaga Lestari Rakyat Sabah di The Pacific Sutera, di sini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Dalam ucapannya, Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) atas komitmen berterusan memacu pembangunan sektor tenaga negeri menerusi pendekatan yang progresif, berpandangan jauh dan berteraskan kepentingan rakyat.
“Hari ini kita menyaksikan satu lagi langkah penting dalam merealisasikan aspirasi tersebut melalui pelancaran Sabah Energy Efficiency Action Plan (SEEAP) dan Program Solar Rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan pada majlis itu membentuk satu ekosistem pembangunan tenaga yang saling melengkapi.
“Pengiktirafan kepada projek-projek solar, pelaksanaan program Government Lead by Example, kerjasama dengan institusi latihan, pembangunan usahawan menerusi Memorandum Persefahaman bersama Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), selain pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat, membuktikan pembangunan tenaga lestari memerlukan penyertaan semua pihak,” katanya.
Menurut Hajiji, kerajaan negeri juga mahu melihat penggunaan tenaga yang lebih berhemah dan cekap dalam semua sektor, di samping memberi lebih banyak peluang kepada rakyat Sabah untuk terlibat dalam penggunaan tenaga boleh baharu.
“Kita juga mahu mewujudkan persekitaran yang menggalakkan inovasi, pelaburan dan pembangunan industri tenaga yang mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri.
“Peralihan tenaga bukan sekadar berkaitan teknologi, tetapi merupakan satu transformasi yang melibatkan dasar, pelaburan, pembangunan modal insan, penyelidikan, inovasi serta kerjasama erat antara kerajaan, industri, institusi pendidikan dan masyarakat.
“Kerjasama seperti ini amat penting bagi memastikan setiap dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan secara berkesan serta memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, dalam usaha mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri, kerajaan akan terus memastikan sektor tenaga berkembang secara terancang, mampan dan berdaya tahan.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, ECoS, pemain industri, pelabur, institusi kewangan, sektor swasta serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan Sabah memiliki sistem tenaga yang mampu menyokong pembangunan negeri untuk beberapa dekad akan datang,” katanya.

Tun Musa diiringi Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam (tiga kiri), Pengerusi ECoS Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili (tiga kanan), dan Ketua Pegawai Eksekutif ECoS Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid (dua kanan), melakukan gimik pelancaran.





