Kepada sekolah, dan agama bukan Islam di Sabah – Hajiji
SANDAKAN: Bantuan kewangan tahunan Kerajaan Negeri kepada sekolah persendirian Cina, sekolah mubaligh dan badan agama bukan Islam di Sabah meningkat lebih dua kali ganda daripada RM43 juta pada 2020 kepada RM90 juta pada tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, peruntukan tahunan itu meningkat secara konsisten daripada RM43 juta pada 2020 dan 2021 kepada RM47 juta pada 2022, RM54.05 juta (2023), RM56.75 juta (2024), RM70 juta (2025) dan RM90 juta pada tahun ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan 2026 kepada sekolah-sekolah Cina dan badan agama bukan Islam bagi Zon Pantai Timur Sandakan di Dewan SJKC Chi Hwa.
Hajiji berkata, peningkatan peruntukan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong institusi pendidikan dan keagamaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan, memupuk perpaduan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat di Sabah.
Menurut beliau, peningkatan bantuan sejak 2020 menunjukkan hasil pengukuhan ekonomi negeri dan kedudukan kewangan kerajaan yang semakin baik dikembalikan semula kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif.
Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada komitmen itu, Kerajaan Negeri turut mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sekali gus membolehkan pemegang sijil berkenaan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri serta memohon biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.
Bagi Zon Pantai Timur, sebanyak RM9 juta diperuntukkan meliputi daerah Sandakan, Beluran, Tongod, Telupid, Paitan, Kinabatangan dan Sukau, iaitu peningkatan RM2 juta berbanding tahun 2025.
Daripada jumlah itu, RM4.41 juta disalurkan kepada 42 institusi pendidikan yang merangkumi sebuah sekolah menengah persendirian Cina, dua sekolah menengah jenis kebangsaan Cina, 10 sekolah rendah jenis kebangsaan Cina, sembilan sekolah rendah dan menengah mubaligh, 18 tadika serta dua sekolah persendirian mubaligh.
Selain itu, RM4.58 juta diperuntukkan kepada badan agama bukan Islam yang memberi manfaat kepada 96 gereja daripada sembilan denominasi, 27 tokong Cina dan dua kuil Hindu.
“Pada tahun ini juga, sebanyak 46 permohonan baharu daripada gereja telah diluluskan. Saya berharap bantuan yang disampaikan hari ini dimanfaatkan sebaiknya bagi kerja-kerja penyelenggaraan, menaik taraf kemudahan, pembangunan pendidikan serta aktiviti kerohanian yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.
Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinannya akan terus menjunjung prinsip keadilan, kesaksamaan dan keterangkuman demi memastikan Sabah terus maju, makmur dan stabil dalam semangat perpaduan serta saling menghormati.

HAJIJI








