Persatuan Seni Tari dan Muzikal kukuhkan warisan budaya

SEMPORNA: Penubuhan Persatuan Seni Tari dan Muzikal menjadi platform baharu menghimpunkan individu yang berminat dalam bidang tarian, muzik dan seni persembahan.
Presiden persatuan, Julkalani Haji Abdul Rahman, berkata tujuan utama penubuhan ini adalah untuk memelihara warisan budaya, mencungkil bakat baharu serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti seni.
Beliau menjelaskan, antara objektif persatuan ialah; Memelihara dan mempromosikan seni tari serta muzik tradisional dan moden;
Melatih ahli dalam tarian, nyanyian, muzik dan persembahan pentas; Menganjurkan persembahan, pertandingan, bengkel dan festival seni; Mengeratkan hubungan silaturahim melalui aktiviti kebudayaan dan Melahirkan generasi yang menghargai warisan seni dan budaya.
Julkalani menambah, persatuan ini juga berperanan sebagai wadah untuk memupuk disiplin, keyakinan diri, semangat kerjasama serta rasa bangga terhadap identiti budaya tempatan.
Sebagai langkah permulaan, persatuan akan menganjurkan Bengkel Titik Tagunggu  Igal  Igal dan Battle Belia Beliawanis  Bajau Kubang 2026  di Dewan Seri Melanu, Semporna pada Sabtu, bermula jam 7.30 pagi hingga 4.00 petang.
Pada sebelah malam, acara diteruskan di Pasar Tamu Malam, Singgah Sini Santai Seni (Atok Ukung), Bandar Lama Semporna dari jam 7.30 malam hingga 11.30 malam.
Manakala pada Ahad, 30 Ogos, bengkel akan berlangsung dari jam 7.30 pagi hingga 2.00 petang, diikuti acara malam dari jam 7.30 malam hingga 11.30 malam yang merangkumi majlis penutupan rasmi serta penyampaian hadiah oleh Senator Datuk Dr Hajah Fauziah Saleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. 
Dengan penganjuran ini, Persatuan Seni Tari dan Muzikal diharap menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh seni budaya tempatan, selain membuka ruang kepada masyarakat untuk terus menghargai dan menghidupkan warisan bangsa.

Julkalani