KM seru belia Islam jadikan semangat hijrah budaya hidup

Oleh JOHN TAMBANAN


TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyeru generasi muda Islam di Sabah menjadikan semangat hijrah sebagai budaya hidup dengan terus menimba ilmu, meningkatkan kemahiran, membentuk sahsiah serta memperkukuh jati diri demi melahirkan generasi berwibawa yang mampu menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.
Beliau berkata, golongan muda merupakan aset penting yang akan menentukan masa depan masyarakat, justeru perlu bijak memanfaatkan teknologi digital untuk pembelajaran, pembangunan kemahiran, keusahawanan, penyebaran ilmu dan peningkatan taraf hidup.
Pada masa sama, katanya, mereka perlu mengelakkan penyalahgunaan teknologi, penyebaran berita palsu, buli siber serta gejala sosial yang boleh menjejaskan masa depan, selain memiliki daya tahan tinggi, berani menghadapi cabaran dan sentiasa berusaha memperbaiki diri.
“Dengan ilmu, akhlak dan semangat hijrah yang kukuh, generasi muda mampu menjadi pemimpin yang berwibawa, berintegriti dan bertanggungjawab,” katanya pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik, Datuk Abdul Kassim Razali.
Hajiji berkata, sambutan Maal Hijrah bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya wadah menghayati pengajaran daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang membawa kepada pembentukan masyarakat bersatu, progresif, berdisiplin dan berakhlak mulia.
Beliau berkata, semangat hijrah perlu dijadikan landasan untuk memperkukuh perpaduan, meningkatkan usaha dan membina masyarakat yang lebih maju melalui perubahan sikap, pemikiran, amalan serta tindakan ke arah yang lebih baik.
Katanya, nilai seperti perancangan, pengorbanan, kesabaran, keberanian dan keyakinan kepada Allah SWT perlu terus dihayati, di samping meninggalkan sikap negatif seperti malas, tidak berdisiplin, mementingkan diri sendiri, tidak amanah dan mudah berputus asa.
Hajiji turut mengajak masyarakat Islam menjadikan Maal Hijrah sebagai titik permulaan memperbaharui azam dengan berhijrah daripada kelemahan kepada kekuatan, daripada perpecahan kepada perpaduan, daripada kejahilan kepada ilmu serta daripada sikap tidak peduli kepada rasa tanggungjawab.
Beliau berharap sambutan itu menjadi pemangkin kepada pembentukan ummah yang sejahtera, inklusif, berakhlak dan berpaksikan nilai Islam, selain menyeru rakyat Sabah terus bersatu padu, mengutamakan kestabilan serta menolak sebarang unsur yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian negeri.

SAMPAIKAN …. Abdul Kassim mewakili Ketua Menteri, menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Daerah Tuaran kepada Ustaz Haji Imbran Angun pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman, Tuaran.