PENAMPANG: Tiga lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 25 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, berkata ketiga-tiga suspek ditahan sepasukan polis dalam operasi yang dijalankan pada 10 Ogos lalu.
“Operasi dijalankan di sekitar daerah ini bagi mengesan individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan curi motosikal.
“Dalam operasi itu, polis turut merampas sebuah motosikal dan anak kunci motosikal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes curi berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta dikenakan denda.
Sammy berkata, polis akan terus mempergiat usaha mengesan dan membanteras kegiatan jenayah, khususnya kes kecurian kenderaan di daerah Penampang.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kenderaan menjadi sasaran pencuri, termasuk memastikan kenderaan dikunci dengan sempurna serta menggunakan kunci keselamatan tambahan.
“Kenderaan juga hendaklah diletakkan di kawasan yang terang dan selamat.
“Masyarakat turut diminta sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling dan segera menyalurkan maklumat kepada polis jika mengesan individu, kenderaan atau sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.

DITAHAN …. Suspek yang ditahan dalam operasi polis menunjukkan motosikal yang dirampas.





