KOTA KINABALU: Sabah Fest 2026 kembali dengan sambutan selama sebulan dari 29 Ogos hingga 29 September ini, menampilkan 50 acara terpilih bagi mengetengahkan kepelbagaian budaya, tradisi dan pengalaman komuniti di seluruh negeri.
Bertemakan ‘Cultural Extravaganza’, festival anjuran Lembaga Pelancongan Sabah (STB) menerusi Sri Pelancongan Sabah itu turut menampilkan jelajah, persembahan kebudayaan, bengkel praktikal serta pelbagai aktiviti interaktif.
Program pembukaan akan berlangsung di bangunan pejabat STB di Kota Kinabalu sebelum diteruskan ke Sandakan, Tawau, Kudat dan Kuala Lumpur.
Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai, berkata kepelbagaian Sabah adalah antara kekuatan utama yang terus membentuk daya tarikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan.
“Sabah Fest menyediakan platform penting untuk meraikan komuniti, tradisi dan pengalaman tempatan, selain membuka peluang kepada industri pelancongan bekerjasama mempromosikan apa yang ditawarkan Sabah.
“Festival tahun ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk memperkukuh kerjasama industri dan mewujudkan pengalaman bermakna yang memberi manfaat kepada komuniti tempatan,” katanya.
Sambutan tahun ini turut istimewa kerana bersempena ulang tahun ke-50 STB yang menandakan lima dekad usaha mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan.
Sebanyak 50 acara dan pengalaman akan diketengahkan hasil kerjasama pemegang taruh pelancongan, organisasi, komuniti, perniagaan dan penganjur acara.
Program merangkumi festival, persidangan, bengkel, pakej pelancongan, promosi khas, pengalaman kebudayaan dan pameran.
Penganjur yang berminat menyertai Sabah Fest 2026 boleh mendaftar menerusi laman sesawang Hello Sabah.
Sabah Fest yang diperkenalkan pada 1988 terus berkembang sebagai platform menghubungkan komuniti, pemain industri dan pelancong menerusi pengalaman kebudayaan yang bermakna.

MENARIK …. Sambutan Sabah Fest 2026 bakal menampilkan 50 acara pilihan selama sebulan bermula 29 Ogos 2026.






