TAWAU: Seorang peniaga dikenakan kompaun selepas gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai pada barangan yang ditawarkan dalam pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tawau di sekitar Quoin Hill, di sini, semalam.
KPDN Tawau dalam kenyataan berkata, pemeriksaan dijalankan sepasukan pegawai penguat kuasa bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan, khususnya berkaitan penandaan harga serta penggunaan alat timbang dan sukat untuk tujuan perdagangan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan peniaga mematuhi peraturan penandaan harga, manakala alat timbang dan sukat yang digunakan turut disahkan untuk tujuan perdagangan.
“Bagaimanapun, satu kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 direkodkan selepas pemeriksaan mendapati barangan yang dipamerkan untuk jualan tidak disertakan tanda harga jualan tunai seperti diwajibkan.
“Perbuatan itu adalah satu kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dibuat menurut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723],” menurut kenyataan itu.
Dalam operasi sama, pemeriksaan turut dijalankan terhadap stesen minyak di sekitar Tawau dan mendapati semua premis yang dilawati mematuhi peraturan ditetapkan, termasuk menyediakan Peti dan Buku Log Lawatan KPDN.
Sebanyak 35 Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP) turut dikeluarkan kepada premis perniagaan yang diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
KPDN Tawau berkata, pemeriksaan dan pemantauan akan terus dijalankan secara konsisten setiap hari serta dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan persekitaran perdagangan yang adil, telus dan mematuhi perundangan sentiasa terpelihara.

PEMERIKSAAN …. Pegawai penguat kuasa KPDN Tawau menjalankan pemeriksaan di premis perniagaan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan penandaan harga dan penggunaan alat timbang serta sukat.






