KOTA KINABALU: Sabah International Expo (SIE) 2026 dijangka menjadi platform penting bagi Sabah meneroka pasaran dan peluang perniagaan baharu.
Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Cawangan Sabah, Datuk Susan Chang berkata, penganjuran SIE 2026 yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 6 September ini bakal menghimpunkan penyertaan dari 15 negara dengan menyasarkan 30,000 pengunjung.
“SIE tahun ini turut menampilkan pengisian baharu menerusi Persidangan Halal Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), selain Sabah International Business Luncheon Talk (SIBLT) yang menampilkan Pengasas dan Pengerusi Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah sebagai penceramah utama.
“Dari 4 hingga 6 September pula, 15 negara akan mengambil bahagian dalam Sabah International Expo.
“Antara negara yang dijangka mengambil bahagian ialah Brunei, Indonesia, Filipina, Finland, Thailand, China, Poland, Australia dan India selain penyertaan dari beberapa wilayah lain.
“SIE melibatkan 300 gerai besar dan kita juga menyediakan lebih 20 kiosk kecil untuk usahawan kecil tempatan.
“Pendekatan itu membolehkan bukan sahaja pemain industri berskala besar, malah usahawan kecil tempatan turut mendapat ruang untuk memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung dan peserta antarabangsa,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, sokongan kerajaan penting dalam menjadikan SIE sebagai platform untuk mempromosikan Sabah sebagai pintu masuk kepada peluang pasaran global, khususnya menerusi kerjasama BIMP-EAGA.
“Kita mengharapkan SIE dapat membantu Sabah melihat pasaran yang lebih besar, terutama dengan kedudukan Sabah yang strategik dalam BIMP-EAGA.
“SIE dianjurkan secara bersama oleh Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET), MICCI serta Persekutuan Industri Sabah (FSI),” tambahnya.
Turut hadir, Naib Pengerusi MICCI, Matthew Loh Shin Kiet dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Datuk Dr. Rosmawati Lasuki.-Penerangan.

BERBUAL … Susan (kiri) Susan (tengah) berbual bersama Tun Musa pada kunjungan hormat berkenaan.





