81 murid SJKC Keningau siap tempur Kuiz Pengetahuan Am 2026

KENINGAU: Seramai 81 murid daripada tiga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di daerah ini giat membuat persiapan bagi menghadapi Pertandingan Kuiz Pengetahuan Am SJKC Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Ke-21 Tahun 2026.
Pertandingan peringkat Daerah Keningau akan berlangsung di SJK(C) Yuk Yin dan melibatkan penyertaan murid dari SJK(C) Yuk Yin, SJK(C) Yuk Kong serta SJK(C) Cheng Min.
Pengerusi pertandingan merangkap Presiden Persatuan Hakka Keningau dan Ketua Masyarakat Cina (KMC), Kapitan Chong Kong Ming, berkata pertandingan itu bukan sekadar menguji pengetahuan murid, malah menjadi platform memupuk minat membaca dan memperluas pengetahuan mengenai perkembangan semasa.
“Perubahan dunia yang pantas menuntut murid bukan sahaja menguasai ilmu dalam sukatan pelajaran, tetapi turut mengambil tahu perkembangan semasa berkaitan masyarakat, negara dan antarabangsa.
“Pertandingan seperti ini dapat melatih murid berfikir secara kritikal, membuat keputusan dengan pantas serta meningkatkan keyakinan diri,” katanya.
Beliau berharap semua peserta menyertai pertandingan dengan semangat positif serta menjadikan pengalaman itu sebagai peluang menimba ilmu dan menguji kemampuan diri.
Sementara itu, Ketua Biro Wanita Gabungan Persatuan Hakka Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Chen Siong Yun, berkata sambutan daripada sekolah rendah Cina di daerah itu amat menggalakkan.
Katanya, soalan pertandingan merangkumi pelbagai bidang termasuk mata pelajaran sekolah rendah, berita dalam dan luar negara, sukan, politik, ekonomi serta isu semasa.
“Selain pembelajaran di sekolah, murid digalakkan membaca bahan ilmiah, mengikuti perkembangan berita dan mengambil tahu perkara yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.
Pertandingan anjuran Biro Wanita Gabungan Persatuan Hakka Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan itu akan berlangsung pada 19 September 2026, jam 9 pagi, selama satu jam.
Soalan pertandingan hanya akan dibuka di lokasi pertandingan pada hari berkenaan.
Pertandingan itu bertujuan menguji keluasan pengetahuan murid sekolah rendah Cina, selain menggalakkan budaya membaca, pembelajaran sepanjang hayat dan kepekaan terhadap perkembangan semasa.-John Tambanan.

Kapitan Chong Kong Ming