KENINGAU: Usaha memperkasa sektor pertanian di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan diteruskan menerusi penggunaan jentera khidmat masyarakat bagi melaksanakan kerja pembinaan dan penyelenggaraan saliran air sawah sepanjang hampir dua kilometer di Kampung Toboh Baru.
Inisiatif itu dilaksanakan bagi membantu petani dan pesawah tempatan memperbaiki sistem pengairan sawah, sekali gus memastikan aliran air disalurkan dengan lebih teratur untuk menyokong aktiviti pertanian penduduk.
Jentera berkenaan disediakan secara percuma atas inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi, bagi memenuhi keperluan komuniti pesawah serta menangani cabaran berkaitan kemudahan asas pertanian di kawasan berkenaan.
Kerja penyelenggaraan bermula 7 Julai lalu dan siap sepenuhnya pada 10 Ogos 2026, di bawah penyelarasan Pemaju Mukim Kali, Zairulzaki Zaki, bersama Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Afiezal Ismail.
Jurucakap penduduk Kampung Toboh Baru, Bianus Bolong, berkata bantuan berkenaan memberi manfaat besar kepada komuniti pesawah kerana sistem saliran yang lebih baik memudahkan pengairan dan mengurangkan kesukaran penduduk mengusahakan sawah.
Menurutnya, kemudahan itu penting bagi memastikan aktiviti pertanian dapat dijalankan dengan lebih lancar, selain membantu meningkatkan produktiviti petani.
“Dengan siapnya kerja-kerja ini, kami berharap kemudahan saliran dapat dijaga bersama supaya manfaatnya dapat dinikmati penduduk dalam jangka panjang,” katanya.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen ADUN Liawan dalam memenuhi keperluan rakyat serta melaksanakan usaha yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti, khususnya golongan petani dan pesawah.-John Tambanan

Bianus Bolong.

Penyelenggaraan saliran air sawah sepanjang hampir dua kilometer di kawasan sawah padi Kampung Toboh Baru.







