Perkasa generasi muda dengan semangat patriotisme

TAWAU: Generasi muda perlu terus diperkasa dengan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara sebagai pewaris yang bakal menerajui masa depan Malaysia.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sri Tanjong, Edmund Lo, berkata semangat kemerdekaan perlu terus disemarakkan dalam kalangan golongan muda menerusi penglibatan dalam program yang dapat memupuk rasa cinta akan negara.
“Walaupun kita berbeza, kita tetap kawan. Kita perlu saling menghormati, memahami serta menjaga keharmonian dan kesejahteraan yang kita nikmati hari ini.
“Saya menggalakkan golongan muda dan belia mengikuti program seperti ini bagi bersama-sama memupuk semangat cinta akan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 di Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Tawau, di sini, Ahad.
Sementara itu, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, berkata KMJG 2026 turut memberi tumpuan kepada pelajar dan belia dalam usaha memperkukuh semangat patriotisme sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah.
“Kami bukan sahaja menyantuni komuniti di sepanjang laluan konvoi KMJG, tetapi turut mengunjungi sekolah dan institusi pengajian tinggi awam serta swasta bagi memastikan semangat patriotisme terus diperkasa dan diperbaharui,” katanya.
Jainisah berkata penglibatan pelajar dalam program berkenaan amat menggalakkan dan pihak sekolah disaran menganjurkan lebih banyak aktiviti seumpamanya bagi memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai kepentingan mencintai negara.
Menurutnya, KMJG 2026 turut membawa mesej kepada seluruh rakyat Sabah supaya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah sebagai tanda kesyukuran atas kemerdekaan yang dikecapi.-Penerangan.

GIMIK… Edmund (tengah) ketika menyempurnakan gimik pelancaran program KMJG 2026 Daerah Tawau.