KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh pembangunan sektor kesihatan di Sabah menerusi pelaksanaan perancangan strategik melibatkan pembangunan fasiliti, pemerkasaan sumber manusia dan peningkatan peruntukan kewangan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu antara tumpuan utama dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah yang dipengerusikan bersama Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Mojungki, semalam.
Katanya, fasa rundingan berhubung permintaan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya berkaitan pembangunan kesihatan melalui lima jawatankuasa kecil, kini berjalan lancar dan akan diberikan tumpuan kepada fasa pelaksanaan secara menyeluruh.
“Perkembangan rundingan dan pelaksanaan ini akan dipantau melalui sistem Balanced Scorecard dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan oleh kedua-dua pihak.
“Dalam aspek pembangunan fasiliti kesihatan berimpak tinggi, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan RM1.57 bilion di bawah RMK-13 RP1 bagi melaksanakan 53 projek di Sabah, merangkumi 46 projek sambungan dan tujuh projek baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan, di sini, semalam.
Dzulkefly berkata, antara projek baharu yang dirancang ialah pembinaan Pusat Jantung Sabah bernilai RM125 juta serta Klinik Kesihatan Jenis 5 di Sapulut, Nabawan berserta kuarters dengan kos RM81.95 juta.
Katanya, dari segi pemerkasaan perjawatan dan sumber manusia pula, sebanyak 607 jawatan baharu telah diwujudkan di Sabah setakat 1 Ogos lalu.
“Daripada jumlah itu, 355 jawatan merupakan jawatan Pengurusan dan Profesional, termasuk 77 jawatan pakar serta 203 jawatan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi, manakala 252 jawatan lagi melibatkan Kumpulan Pelaksana.
“Langkah tersebut bertujuan memastikan operasi fasiliti kesihatan di Sabah dapat berfungsi pada kapasiti yang lebih optimum selaras dengan peningkatan keperluan perkhidmatan kesihatan rakyat.
“KKM turut menetapkan sasaran peningkatan peruntukan tahunan sebanyak lima peratus kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, dengan unjuran peruntukan meningkat sehingga RM4 bilion menjelang 2030,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, komitmen kerajaan turut diterjemahkan melalui tindakan segera bagi menangani isu dan keperluan fasiliti kesihatan di peringkat akar umbi.
Katanya, hasil lawatan kerja ke Sabah, beliau telah melawat tiga hospital daerah dan meluluskan peruntukan segera berjumlah hampir RM4.3 juta secara keseluruhan.
“Di Hospital Tambunan, sebanyak RM988,000 diluluskan bagi menaik taraf Jabatan Kecemasan, membaiki kantin yang rosak serta mendapatkan kelengkapan perubatan.
“Berhubung projek Jabatan Pesakit Luar (JPL) Hospital Tambunan yang terbengkalai selama sembilan tahun, kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek tersebut dan memberi tumpuan kepada pembinaan hospital baharu sebagai gantian.
“Kerja-kerja awalan kini sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membolehkan KKM mengemukakan butiran lengkap projek berkenaan di bawah RP3 RMK-13,” katanya.
Dzulkefly menegaskan, bagi Hospital Ranau, peruntukan sebanyak RM1.279 juta telah diluluskan bagi menangani isu kritikal fasiliti, termasuk RM950,000 untuk membina semula kaunter Triage, membaiki kantin, menaik taraf kapasiti transformer elektrik bagi pemasangan pendingin hawa serta memperoleh tiga unit peti mayat baharu.
“Sebanyak RM329,000 lagi diperuntukkan bagi mendapatkan peralatan perubatan penting, selain kelulusan untuk memperoleh empat ambulans baharu,” katanya.
Sementara itu, di Hospital Kota Belud, Dzulkefly menegaskan sebanyak RM2.01 juta diluluskan bagi menangani keperluan Unit Pesakit Luar yang kini menampung purata 261 pesakit sehari.
“Daripada jumlah tersebut, RM1 juta diperuntukkan untuk menaik taraf Unit Pesakit Luar, RM510,000 bagi memperkukuh kelengkapan Unit Pergigian dan RM500,000 untuk memperoleh mesin Mobile X-Ray baharu bagi menggantikan aset lama yang telah berusia 18 tahun,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata, KKM amat menghargai keterbukaan serta kerjasama erat Kerajaan Negeri Sabah sepanjang proses rundingan MA63 berkaitan pembangunan kesihatan.
“KKM akan terus menggembleng tenaga bagi memastikan seluruh ketetapan ini direalisasikan dengan jayanya demi menjamin kualiti dan kesejahteraan kesihatan seluruh rakyat Sabah,” katanya.

Dzulkefly mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah.






