KINARUT: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mengumumkan penarikan balik sokongannya terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkuat kuasa serta-merta.
Presiden KDM, Priscella Peter berkata, keputusan itu dipersetujui pemimpin dan ahli daripada 25 bahagian parti yang menghadiri Majlis Amanat dan Hala Tuju KDM menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 di Beringgis Resort, di sini.
Beliau berkata KDM akan mengusahakan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain bagi menghadapi PRU akan datang dan tidak akan bertanding secara bersendirian.
“Bagi PRU akan datang, KDM tidak akan bertanding secara solo. Mengenai Blok Borneo yang saya sebutkan dalam ucapan tadi, kami mahukan satu suara demi masa depan yang lebih baik untuk rakyat Sabah dan generasi akan datang,” katanya pada sidang media selepas majlis itu.
Priscella berkata KDM terbuka untuk bekerjasama dengan parti tempatan termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Solidariti Tanah Airku Sabah (STAR Sabah), namun belum ada keputusan rasmi dibuat.
Katanya, perbincangan dengan beberapa parti lain setakat ini masih bersifat tidak rasmi dan keputusan muktamad perlu diputuskan Majlis Tertinggi KDM.
“Kami berkawan. Kami berbincang, tetapi keputusan muktamad belum diumumkan,” katanya.
Mengenai penarikan balik sokongan terhadap kerajaan GRS, Priscella berkata keputusan itu dibuat demi kepentingan parti, perubahan di Sabah dan generasi akan datang.
“Sebagai sebuah parti, kami mungkin kecil, tetapi saya berpendapat ini adalah langkah terbaik bagi kami dalam menghadapi PRU akan datang demi perubahan di Sabah, serta untuk menyuarakan aspirasi Sabah,” katanya.
Sementara itu, mengenai pemimpin KDM yang memegang jawatan dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), beliau berkata parti akan mematuhi prosedur dan protokol yang ditetapkan.
Priscella turut menepis spekulasi bahawa Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda, akan kembali menyertai Barisan Nasional (BN), sambil menegaskan beliau masih memegang jawatan berkenaan.
Katanya, Majlis Tertinggi KDM tidak menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada Wetrom, yang tidak hadir pada majlis berkenaan kerana mempunyai komitmen lain termasuk tugas Parlimen.
Priscella berkata lebih 300 ahli daripada 25 bahagian menghadiri majlis itu yang turut membincangkan usaha memperkukuh jentera parti di peringkat akar umbi sebagai persediaan menghadapi PRU akan datang.
Beliau berkata KDM masih belum memuktamadkan kerusi Parlimen yang akan ditandingi atau senarai calonnya, sebaliknya memberi tumpuan kepada pengukuhan jentera dan kerja lapangan.-John Tambanan.

Priscella (duduk, kedua dari kanan) bersama pemimpin parti pada sidang media.






