KDM bukan parti komponen GRS, kata Armizan

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bukan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali.
Dalam hantaran di Facebook, Armizan berkata selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November lalu, KDM menerusi satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Rusdin Riman, menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, sekali gus menjadikan parti itu sebahagian daripada Kerajaan Sabah.
“Parti KDM bukan parti komponen GRS,” katanya.
Penjelasan itu dibuat susulan pengumuman KDM untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan GRS.
Armizan berkata beliau telah menghubungi Rusdin, ADUN Paginatan dan satu-satunya wakil rakyat KDM, susulan pengumuman Presiden KDM, Priscella Peter.
“Menurut beliau (Rusdin), komitmennya adalah untuk berkhidmat kepada rakyat yang diwakilinya serta memastikan kestabilan kerajaan negeri agar agenda pembangunan untuk rakyat dapat diteruskan,” katanya.
Beliau berkata Rusdin turut menghadiri acara yang melibatkan ADUN kerajaan di Kota Kinabalu pada pagi Sabtu.
Terdahulu, Priscella berkata keputusan KDM menarik balik sokongan itu dipersetujui sebulat suara Majlis Tertinggi parti serta pemimpin dan ahli daripada 25 bahagian KDM.
Beliau turut memberi isyarat bahawa KDM akan meneroka kerjasama dengan parti lain yang berpangkalan di Sabah menjelang pilihan raya umum akan datang.

Armizan