KOTA KINABALU: Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) Sabah melancarkan Next Generation Entrepreneurs Organisation (NGEO), platform pembangunan belia khusus untuk anak-anak ahli bagi memberi pendedahan awal dalam bidang perniagaan, keusahawanan dan kepimpinan.
Presiden MCCC Sabah, Datuk Dexter Lau berkata NGEO diwujudkan bagi membimbing generasi muda menerusi pembelajaran berasaskan pengalaman, lawatan ke syarikat, pendedahan industri, bengkel interaktif serta pelbagai aktiviti praktikal.
Beliau berkata inisiatif itu bertujuan membina kemahiran komunikasi, kreativiti, kepimpinan, keyakinan diri dan pemikiran keusahawanan dalam kalangan anak-anak ahli.
“NGEO bukan sahaja memberi ilmu perniagaan dan pengalaman praktikal, malah memberi penekanan terhadap pemeliharaan budaya Cina, nilai tradisional dan etika perniagaan seperti integriti, tanggungjawab, keprihatinan dan ketekunan.
“Platform ini juga menjadi jambatan pewarisan pengalaman antara generasi dalam keluarga ahli MCCC Sabah, membolehkan ibu bapa berkongsi pengalaman perniagaan dan pengetahuan profesional dengan anak-anak,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran NGEO di Dewan Hakka, di sini, pada Sabtu.
NGEO diterajui Pengerusinya, Charlene Chea, pengasas Piel Perfecta dan Hair Soul, bersama Timbalan Pengerusi Katryn Haw dari Ironfield Engineering Sdn Bhd dan Bendahari Aerith Lee dari Dreamer Visual.
Bersempena pelancaran itu, NGEO menganjurkan program sulung, Bengkel Pembuatan Kuih Bulan Kulit Salji Sempena Perayaan Pertengahan Musim Luruh, yang disertai anak-anak ahli MCCC Sabah.
Dexter berkata program berkenaan memberi peluang kepada kanak-kanak mempelajari pembuatan kuih bulan secara langsung, selain memupuk kreativiti, kerja berpasukan dan penghargaan terhadap budaya tradisional Cina.
Beliau berkata NGEO turut merancang lawatan ke Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta syarikat, kilang dan premis perniagaan milik ahli MCCC bagi mendedahkan peserta kepada operasi perniagaan, keselamatan, peluang kerjaya dan pelbagai sektor industri.
NGEO mempunyai empat teras misi, antaranya melahirkan generasi pemimpin perniagaan yang berperspektif antarabangsa, berintegriti, mempunyai tanggungjawab sosial serta jati diri budaya yang kukuh.

PELANCARAN …. Dexter Lau diiringi Charlene Chea dan Katryn Haw menyempurnakan majlis pelancaran NGEO di Dewan Hakka, pada Sabtu.





