Oleh JAMES LEONG
SANDAKAN: Sebanyak 28 rumah kayu musnah dalam kebakaran di Kampung Nunuyan Laut, sebuah perkampungan air di sini, awal pagi Rabu, manakala 162 rumah berhampiran berjaya diselamatkan.
Seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan terpaksa menggunakan bot disediakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 12 kilometer melalui laluan laut.
Panggilan kecemasan diterima Bilik Kawalan Balai Bomba Sandakan pada 3.50 pagi, dengan laporan awal memaklumkan lebih 10 rumah dipercayai terbakar.
Pasukan bomba tiba di jeti APMM pada 5.25 pagi sebelum meneruskan perjalanan menggunakan bot ke lokasi kejadian bagi membawa anggota serta peralatan operasi.
Komander Operasi, PBK I Alan Ayuh, berkata kebakaran memusnahkan sepenuhnya 28 rumah kayu membabitkan kawasan dianggarkan 30 meter lebar dan 200 meter panjang.
Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air, yang mengambil sumber air dari laut.
“Operasi bagaimanapun berdepan cabaran angin kencang yang menyukarkan pergerakan pasukan selain menyebabkan api merebak dengan cepat dari sebuah rumah ke rumah yang lain,” katanya.
Kebakaran berjaya dikawal pada 5.45 pagi, dengan operasi diketuai Komander Operasi Kanan TPgB II Mohd Faizal Wahid, PKPgB Hairi Otuh dan PKPgB Jimmy Lagung.
Hasil tindakan pantas pasukan bomba, sebanyak 162 rumah berhampiran berjaya diselamatkan daripada turut musnah dalam kebakaran itu.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan penyejukan bagi memastikan tiada bara api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang serta mengelakkan api merebak ke kawasan berhampiran.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8.33 pagi selepas lokasi kejadian disahkan selamat dan tiada lagi bahaya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sandakan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan, Datuk Walter Kenson, berkata mangsa yang terjejas akan ditempatkan sementara di masjid kampung berkenaan sementara menunggu tindakan selanjutnya.

RANAP …. Keadaan selepas kebakaran di Kampung Nunuyan Laut, perkampungan air di Sandakan, Rabu.

OPERASI … Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman dan pemeriksaan bagi memastikan lokasi kejadian selamat serta bebas daripada ancaman kebakaran




