Oleh JOHN TAMBANAN
KENINGAU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) akan meneliti dan mengkaji semula kadar elaun pengerusi serta anggota majlis daerah di seluruh Sabah bagi memastikan sumbangan dan tanggungjawab mereka mendapat pengiktirafan sewajarnya.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata kajian itu akan diperhalusi dengan mengambil kira cabaran serta beban tugas yang dipikul anggota pihak berkuasa tempatan dalam melaksanakan agenda pembangunan di peringkat daerah.
“Perkara ini perlu diteliti selaras dengan cabaran serta beban tugas yang dihadapi dalam melaksanakan agenda pembangunan di peringkat daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota Majlis Daerah Keningau (MDK) bagi sesi 2026-2027, di sini.
Seramai 19 anggota dilantik menganggotai MDK bagi sesi berkenaan, membabitkan pemimpin masyarakat, golongan profesional, bidang pendidikan dan kemahiran (TVET/SKM), selain individu berpengalaman dalam pentadbiran serta pembangunan komuniti.
Antara yang dilantik ialah Pengurus AMG Academy, Faridah Muri Gulim Adau, yang merupakan seorang daripada tiga wanita dalam barisan anggota MDK sesi 2026-2027.
Pelantikan itu turut membabitkan tokoh masyarakat berpengalaman, termasuk bekas Pegawai Daerah Keningau, Haji Zulkifli Nasir @ Gimson Stanley, serta bekas Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Liawan, Frederick Philip @ Fred Toyong.
Anggota MDK bagi sesi 2026-2027 ialah Ir. Ts. Derek Chua Ming Xuan, Rusnin Rasiman, Zachary Kinsik, Upilin @ Abd. Samad Abd. Rahman, Michael Ng Hung Kee, Casmir Silip, Frederick Philip @ Fred Toyong, Sahanip Jamil, Lawerinis Albert, Jaadul Amien Jasri, Zulkifli Nasir @ Gimson Stanley, Aldrin @ Christian Nelson Joe Abin, Faridah Muri, Teo Guan Leck, Ricky Ng Nai Chiau, Andrew Charles, Anggelin Marau, Salzielah Suhaideh dan Sakim Brahim.
Mohd Arifin berkata pelantikan barisan baharu itu dapat memperkukuh pentadbiran kerajaan tempatan menerusi penyertaan individu daripada pelbagai latar belakang, sekali gus memperkayakan perspektif dan pengalaman dalam merancang pembangunan daerah.
“Dengan kepelbagaian latar belakang anggota yang dilantik, kita berharap MDK dapat memainkan peranan lebih berkesan dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam dan memperkasa pembangunan komuniti,” katanya.
Katanya, barisan MDK sesi 2026-2027 diharapkan dapat melaksanakan tanggungjawab secara lebih inklusif, cekap dan berdaya saing demi kesejahteraan masyarakat serta pembangunan daerah Keningau.
Turut hadir Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Maijol Mahap; Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan; Pembantu Menteri Kewangan merangkap ADUN Bingkor, Dato’ Sr Mohd Ishak Ayub; Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jordan Jude Ellron; ADUN Liawan, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi serta Pegawai Daerah Keningau, Tuan Norsih Nusuri.

GAMBAR RAMAI …. Barisan anggota Majlis Daerah Keningau sesi 2026-2027 bergambar kenangan bersama Dr Mohd Arifin dan tetamu jemputan.








