Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Dato’ Victor P. Paut, menerima kunjungan hormat Pengarah Eksekutif (Group Expansion) International Mercantile DMCC (INMERC), Chandrasegaran, yang berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, semalam.
Chandrasegaran yang mengetuai misi meneroka peluang pelaburan berskala besar, menyatakan minat syarikat berkenaan dalam sektor minyak dan gas, selain menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Sawit Kinabalu dalam pembelian minyak sawit keluaran tempatan.
Victor berkata, kerjasama itu berpotensi membuka peluang kepada industri minyak sawit Sabah untuk menembusi pasaran antarabangsa, khususnya di Asia Barat termasuk Dubai dan Arab Saudi.
“Kerjasama ini memungkinkan industri minyak sawit kita dieksport ke luar negara dan memenuhi pasaran Asia Barat, khususnya Dubai dan Arab Saudi.
“Pertemuan ini adalah langkah awal ke arah perbincangan yang lebih luas dalam masa terdekat,” katanya.
Menurut Victor, INMERC turut menyatakan minat untuk melabur dalam sektor perhotelan di Sabah, yang berpotensi menyokong pertumbuhan industri pelancongan serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Beliau berkata, Sabah sentiasa mengamalkan dasar terbuka terhadap pelaburan asing selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menarik lebih banyak pelaburan strategik dalam usaha memacu pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri.
“INMERC juga menyatakan minat untuk melabur di Sawit Kinabalu Sandakan Industrial Park (SKSIP) serta beberapa kawasan strategik lain yang mempunyai potensi untuk pembangunan industri berdaya saing bernilai berbilion ringgit,” katanya.
Menurut sumber, INMERC merupakan sebuah syarikat yang berpangkalan di Dubai, UAE, dengan kepentingan perniagaan dalam sektor perhotelan, minyak sawit, perdagangan agro, tenaga, besi dan keluli serta minyak dan gas.
Syarikat itu dilaporkan mempunyai operasi membabitkan 21 hotel, perkapalan serta sektor minyak dan gas, dengan tenaga kerja kira-kira 8,000 orang dalam pelbagai bidang.

BERPOTENSI: Victor (kiri) menyambut kunjungan hormat Chandrasegaran (kanan) di pejabatnya di Menara Kinabalu.








