KOTA KINABALU: Kemajuan sebenar Sabah tidak boleh hanya diukur berdasarkan pembangunan fizikal, pertumbuhan ekonomi atau kecanggihan teknologi, sebaliknya perlu seiring dengan pembangunan insan yang berilmu, berintegriti, berakhlak dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata sirah Rasulullah SAW menunjukkan pembangunan sesebuah masyarakat perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memperkukuh persaudaraan, memelihara kebajikan serta menjadikan keadilan sebagai asas kehidupan bersama.
Katanya, konsep rahmatan lil ‘alamin yang dibawa Rasulullah SAW merangkumi kasih sayang, keadilan, kebijaksanaan, toleransi, amanah dan penghormatan terhadap martabat manusia.
“Baginda membuktikan bahawa kekuatan kepimpinan bukan hanya terletak pada kekuasaan, tetapi kepada keupayaan membina kepercayaan, berlaku adil serta memberikan manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini.
Hajiji berkata dalam konteks Sabah, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat seluas-luasnya kepada rakyat secara inklusif, dengan mengambil kira kepentingan masyarakat di bandar dan luar bandar.
“Kita mahu membina sebuah negeri yang bukan sahaja maju dari sudut ekonomi dan pembangunan, tetapi turut mempunyai masyarakat yang kukuh nilai moralnya, tinggi integritinya dan erat hubungan sesama mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata nilai yang ditunjukkan Rasulullah SAW seperti amanah, keadilan, kesungguhan, ihsan dan keprihatinan perlu terus menjadi inspirasi dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan.
“Bagi penjawat awam, amanah hendaklah diterjemahkan melalui penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berintegriti. Bagi pemimpin pula, amanah bermaksud meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
“Bagi masyarakat, amanah diterjemahkan melalui sikap bertanggungjawab, menghormati undang-undang serta bersama-sama memelihara keamanan dan keharmonian negeri,” katanya.
Hajiji berkata Sabah yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya perlu terus memelihara kepelbagaian sebagai kekuatan yang menjadi asas perpaduan dan keharmonian negeri.
“Saya menyeru seluruh rakyat supaya terus memelihara semangat perpaduan dan keharmonian yang telah lama menjadi kekuatan negeri Sabah.
“Janganlah perbezaan pandangan, fahaman mahupun latar belakang menyebabkan hubungan sesama kita menjadi renggang. Sebaliknya, kita hendaklah memperbanyakkan titik persamaan, membudayakan dialog yang matang serta menyelesaikan perbezaan dengan penuh hikmah,” katanya.
Beliau berkata keamanan dan kestabilan merupakan prasyarat kepada pembangunan kerana tanpa perpaduan, segala agenda pembangunan yang dirancang akan menjadi lebih sukar untuk direalisasikan.
Dalam pada itu, Hajiji menegaskan peranan generasi muda tidak boleh dipinggirkan dalam menentukan masa depan negeri, khususnya ketika mereka berdepan perkembangan teknologi, kecerdasan buatan, ledakan maklumat serta perubahan sosial yang berlaku pantas.
Katanya, golongan muda perlu dilengkapi bukan sahaja dengan pendidikan dan kemahiran, tetapi juga kekuatan jati diri dan akhlak, selain memanfaatkan media sosial serta teknologi digital untuk menimba ilmu, membangunkan kemahiran, meningkatkan produktiviti dan menyebarkan perkara yang membawa manfaat.
“Kita perlu menghindari budaya menyebarkan maklumat yang tidak sahih, fitnah, penghinaan serta kandungan yang boleh merosakkan akhlak dan hubungan sesama masyarakat,” katanya.
Hajiji berkata akhlak Rasulullah SAW dalam menjaga tutur kata, menghormati manusia dan menyampaikan kebenaran dengan penuh hikmah sewajarnya menjadi pedoman dalam berinteraksi, termasuk dalam dunia digital.
“Kita mahu melahirkan generasi muda Sabah yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing, tetapi pada masa sama tetap teguh jati dirinya, tinggi akhlaknya serta mempunyai rasa tanggungjawab kepada agama, masyarakat, negeri dan negara,” katanya.
Sempena sambutan itu, beliau turut menyeru umat Islam di Sabah memperkukuh kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan menterjemahkannya melalui amalan, termasuk menyuburkan kasih sayang dalam keluarga, melaksanakan amanah dengan penuh kejujuran, membantu golongan yang berada dalam kesusahan serta memelihara hubungan sesama manusia.
Hajiji berkata sekiranya nilai murni yang ditunjukkan Rasulullah SAW diterapkan dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat serta pentadbiran dan pembangunan, Sabah mampu dibina sebagai negeri yang lebih maju, aman, sejahtera dan diberkati Allah SWT.

CEMERLANG … Hajiji mengiringi Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman menyampaikan Anugerah
Tokoh Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M kategori lelaki kepada Datuk Alidin
@Ahmad Din OKK Othman pada majlis itu.



