TAWAU: Pasukan Polis Marin Sabah menggagalkan cubaan menyeludup rokok dalam serbuan di Jeti Kampung Sri Aman, di sini, awal pagi 24 Ogos lalu.
Operasi pada kira-kira 2.20 pagi itu dijalankan hasil risikan dan pemantauan selepas pihak berkuasa mengesan aktiviti mencurigakan yang dipercayai membabitkan penyeludupan rokok dari negara jiran.
Dalam serbuan itu, pasukan operasi menemukan dua bot gentian kaca yang tidak berdaftar dan dipercayai digunakan untuk membawa barangan seludup berkenaan.
Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua bot itu menemukan sejumlah kotak berisi rokok yang dipercayai belum dibayar duti kastam.
Antara barangan yang dirampas ialah 250,000 batang rokok putih Premium International bernilai RM375,000, selain 48,000 batang rokok kretek Menara Dunia bernilai RM86,400.
Turut dirampas dua bot gentian kaca dan dua enjin sangkut berkuasa 200 kuasa kuda (HP), menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM601,400.
Ketika serbuan, beberapa individu yang dipercayai terbabit berjaya melarikan diri dengan terjun ke laut.
Usaha mengesan mereka bagaimanapun terjejas akibat keadaan persekitaran yang gelap dan jarak penglihatan yang terhad.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Komander Polis Marin Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman, berkata pihaknya akan terus mempergiat operasi risikan, rondaan dan penguatkuasaan di lokasi yang dikenal pasti sebagai laluan utama aktiviti penyeludupan.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang,” katanya.
Beliau berkata tindakan tegas dan berterusan akan dilaksanakan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara.
Dalam tempoh Januari hingga Ogos 2026, sebanyak 55 kes direkodkan mengikut Akta Kastam 1967, dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM7,337,542.61.
Dalam tempoh sama, seramai 39 individu turut ditahan.
Kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan Polis Marin Sabah dalam membanteras kegiatan penyeludupan, khususnya di kawasan perairan dan sempadan Pantai Timur Sabah.

Rokok seludup dan bot gentian kaca yang dirampas Polis Marin Sabah dalam serbuan di Tawau awal pagi Isnin.







-218x150.jpg)