Wanita ditahan, 30 botol air ketum dirampas

PENAMPANG: Aktiviti memproses air ketum secara haram di sebuah rumah di Kampung Ulu Seberang di sini terbongkar selepas polis menahan seorang wanita tempatan bersama puluhan botol minuman disyaki air ketum dalam serbuan, 19 Jun lalu.
Serbuan kira-kira jam 1 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang hasil risikan dan maklumat awam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, wanita berusia 43 tahun itu dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses serta menjual air ketum di kawasan berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut menemui 30 botol plastik berisi cecair disyaki air ketum serta satu karung plastik mengandungi daun ketum.
“Turut dirampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM975.
“Suspek turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Menurutnya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran air ketum di daerah ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti ini diminta menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah ini,” katanya.

TAHAN … Wanita yang disyaki terbabit dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum ditahan bersama rampasan dalam serbuan di Kampung Ulu Seberang, Penampang.