Kehadiran Hui Ge meriahkan Jualan Mega KTC

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kehadiran pelakon terkenal Singapura, Henry Thia atau lebih dikenali sebagai Hui Ge, menceriakan suasana Jualan Mega KTC Consolidated Berhad di Kolombong, di sini, semalam.
Kehadiran selebriti berkenaan pada hari kedua jualan tiga hari itu menarik perhatian pengunjung yang mengambil peluang bertemu, beramah mesra dan bergambar bersama beliau.
Hui Ge turut meluangkan masa berinteraksi dengan pembeli serta menyertai beberapa aktiviti yang diadakan di lokasi jualan, sekali gus menambah kemeriahan program berkenaan.
Pengarah Eksekutif KTC Consolidated Berhad, Datuk Dexter Lau, berkata jualan mega yang bermula Jumaat lalu itu merekodkan nilai jualan RM1.4 juta dalam tempoh dua hari.
“Jualan selama dua hari mencecah RM1.4 juta berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai sejak hari pertama.
“Jumlah pengunjung yang besar membuktikan masyarakat memberi sokongan terhadap jualan mega ini, khususnya untuk mendapatkan pelbagai keperluan harian dan produk isi rumah pada harga menarik,” katanya.
Menurutnya, penganjuran jualan mega berkenaan bukan sekadar menawarkan peluang kepada pengguna mendapatkan barangan pada harga berpatutan, malah menjadi platform bagi KTC mendekati masyarakat dan mengukuhkan hubungan dengan komuniti.
Katanya, pelbagai aktiviti interaktif turut dianjurkan bagi memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih menyeronokkan kepada pengunjung.
Jualan Mega KTC berlangsung selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Ogos, dengan pelbagai tawaran istimewa termasuk diskaun sehingga 80 peratus bagi produk terpilih.
Dexter turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan hari terakhir jualan hari ini, terutama kerana stok barangan promosi adalah terhad dan ditawarkan selagi masih ada.

MERIAH …. Henry Thia atau Hui Ge (berbaju corak bunga) bersama Dexter Lau (kiri) dan Pengarah Urusan KTC, Datuk Lau Kok Sing, ketika menghadiri Jualan Mega KTC di Kolombong.