KKJA sambut ulang tahun ke-35 menerusi Malam Media

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA) meraikan ulang tahun ke-35 menerusi penganjuran Malam Media yang berlangsung serentak dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah di Putera Ballroom, di sini, Isnin lalu.
Pengerusi KKJA, Datuk Jimmy Goh, merakamkan penghargaan kepada penasihat kehormat seumur hidup, penasihat kehormat, penasihat, pemimpin masyarakat, penaja serta warga media atas sokongan dan sumbangan berterusan kepada persatuan itu sepanjang lebih tiga dekad.
Beliau berkata, tempoh 35 tahun bukan perjalanan singkat, sebaliknya satu pencapaian yang membuktikan kekuatan kebersamaan warga media dalam memastikan KKJA terus bertahan dan berkhidmat kepada ahlinya.
“Tempoh 35 tahun ini bukan sekadar satu bab dalam sejarah persatuan, malah sebahagian daripada perkembangan kewartawanan di Sabah.
“Semoga KKJA terus menyatukan kekuatan warga media, melangkah maju bersama dan mencipta satu lagi tempoh 35 tahun yang gemilang,” katanya.
Teks ucapan Jimmy disampaikan Timbalan Pengerusi KKJA, Nancy Lai.
Antara tetamu yang hadir ialah Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Datuk T.C. Goh; Presiden Pengasas Persatuan PKS Sabah, Datuk Foo Ngee Kee; Kapitan Datuk Li Su Fook; Pengasas Zara’s Boutique Hotel, Datuk Eliza Goh; bekas Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar; Presiden SJA, Mariah Doksil serta wartawan veteran George Kanavathi dan Pung Chen Choon.

ALBUM …. Jimmy (kiri) bersama Penasihat Kehormat Seumur Hidup KKJA, Datuk Seri Christina Liew; Ketua Pengarang Daily Express, Datuk James Sarda; Penasihat Undang-undang KKJA, Datuk Ram Singh dan isterinya, Datin Lo Mui Lan.