Podcast Santai Anak Iranun hayati akhlak Rasulullah, semangat merdeka

KOTA BELUD: Program Podcast Santai Anak Iranun yang julung kali dianjurkan di Masjid Al Amin, Kampung Payas-Payas, di sini, menjadi wadah dakwah menerusi penghayatan akhlak Rasulullah SAW dan semangat kemerdekaan.
Program bersempena sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah dan Hari Kebangsaan ke-69 itu mengetengahkan perbincangan mengenai akhlak Rasulullah SAW sebagai asas pembentukan jati diri bangsa dalam sebuah negara merdeka.
Moderator, Guru Besar Cikgu Salgaring Wahit, bersama dua panel, Ustaz Datu Mohd Sallehin Datu Moksan dan Ustaz Mohammad Fikri Putung, berkongsi pandangan mengenai kepentingan mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.
Turut hadir Pegawai Tadbir Agama Kota Belud, Imam Haji Madli Haji Mansor dan Hazaidi Haji Awang Japilan daripada podcast Saken Iranun.
Majlis turut diserikan dengan deklamasi sajak oleh bakat cilik, Darwisy Arsyad Radzif, serta persembahan bakal pendidik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Afik Fikri Mohd Nizam.
Sajak dalam bahasa Iranun itu membawa mesej muhasabah, mengajak masyarakat mencontohi akhlak Rasulullah SAW, menjauhi fitnah serta mengamalkan sifat ihsan.
Program berkenaan turut menggabungkan elemen tradisi, ilmu dan seni dalam usaha menyemarakkan semangat kemerdekaan serta memupuk kebanggaan terhadap identiti masyarakat Iranun yang berteraskan nilai Islam.
Jurucakap penganjur, Suhaimi Haji Alkin, berharap program itu menjadi titik permulaan kepada usaha lebih besar dalam menyampaikan syiar Islam dan memperkukuh jati diri masyarakat Iranun.

TETAMU: AJK Masjid Al Amin bergambar bersama tetamu jemputan pada program berkenaan.