LABUAN: Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UMSKAL, menganjurkan Bengkel Kemahiran Menangani Keperluan Pelajar: Respon, Sokong & Rujuk, pada Khamis lalu.
Bengkel itu merupakan inisiatif memperkukuh keupayaan warga akademik dalam mengenal pasti, memahami dan memberi respons bersesuaian terhadap pelbagai keperluan pelajar.
Bengkel dikendalikan Timbalan Ketua Pegawai Psikologi merangkap Ketua BHEP UMSKAL, Nur Iman Reedzal, dengan penyelarasan Penyelaras HEP FKI, Dr Nuraini dan Timbalan Dekan (Pascasiswazah dan Antarabangsa) FKI, Dr Nooralisa Tuah.
Turut menyertai bengkel ialah Timbalan Dekan HEP Fakulti Kewangan dan Antarabangsa Labuan (FKAL), Dr Noor Hasanah Husin, sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh sistem sokongan dan kesejahteraan pelajar.
Nur Iman berkata, bengkel memberi penekanan kepada tiga kemahiran utama iaitu Respon, Sokong dan Rujuk sebagai panduan kepada warga akademik ketika berhadapan pelajar yang mungkin mengalami cabaran akademik, emosi, sosial, kebajikan dan kesejahteraan diri.
Katanya, warga akademik tidak semestinya perlu menjadi penyelesai kepada setiap masalah pelajar, sebaliknya perlu mempunyai kemahiran untuk mendengar, memahami, memberi respons awal, menawarkan sokongan dan menghubungkan pelajar dengan sumber bantuan yang sesuai.
“Pendekatan ini dapat membantu membentuk sistem sokongan pelajar yang lebih tersusun, responsif dan berkesan, selain memperkukuh peranan warga akademik sebagai antara barisan hadapan dalam mengenal pasti keperluan pelajar,” katanya.
Usaha itu mencerminkan komitmen UMSKAL memastikan kecemerlangan akademik bergerak seiring dengan kesejahteraan emosi, psikologi dan kebajikan pelajar, sekali gus mewujudkan ekosistem pendidikan yang lebih prihatin dan menyeluruh.

BENGKEL …. Nur Iman (lima kiri) bersama pensyarah FKI dan FKAL yang menyertai Bengkel Kemahiran Menangani Keperluan Pelajar.




