KOTA KINABALU: Teaterawan Production bakal mementaskan karya teater ‘Tempua Bersarang Rendah’ arahan Maskuji Maturon pada 12 dan 13 September ini di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kota Kinabalu.
Pementasan bermula jam 8 malam dan dibuka kepada penonton berusia 12 tahun ke atas.
Menurut kenyataan penganjur, karya berkenaan menjanjikan pengalaman seni yang menghiburkan dan sarat penghayatan, selain mengetengahkan mesej yang dekat dengan kehidupan masyarakat.
‘Tempua Bersarang Rendah’ mengisahkan keluh-kesah tiga watak utama, iaitu Rosdi, Nandong dan Sobri, yang berdepan pelbagai konflik kehidupan, keluarga, cinta serta dunia teater.
Sobri, seorang bekas posmen yang dibuang kerja, dibebani amanah berupa sepucuk surat peninggalan ibunya yang tidak sempat dihantar ketika hayatnya.
Dalam usaha menunaikan amanah itu, Sobri bertemu Kairus, seorang lelaki licik yang kemudian menjadi pendampingnya dalam pencarian alamat penerima surat berkenaan.
Pada masa sama, kehidupan Rosdi dan Nandong turut berdepan ujian apabila perkahwinan mereka tidak direstui keluarga sehingga menyebabkan pasangan itu terpaksa meninggalkan rumah dan tinggal sementara di kolong bangunan Hotel Marudu yang terbiar di tengah pekan Kudat sekitar 1970-an.
Nandong yang sebelum ini hidup dalam kemewahan terpaksa berdepan kesusahan, manakala Rosdi pula bergelut dengan kecintaan terhadap dunia teater dan tanggungjawab terhadap keluarganya.
Konflik semakin meruncing apabila Nandong yang sarat mengandung tidak mampu menerima perubahan kesetiaan dan cinta Rosdi sebelum akhirnya melarikan diri.
Dalam pada itu, Kairus dan Sobri meneruskan pencarian sehingga akhirnya bertemu dengan penerima wasiat berkenaan, namun usaha itu berakhir dengan kekecewaan.
Karya tersebut turut mengangkat persoalan kasih sayang, pengorbanan, kehilangan serta perjuangan mempertahankan keluarga dan seni teater.
Pementasan ini dijangka menarik perhatian peminat seni tempatan menerusi naskhah yang sarat nilai kemanusiaan dan konflik kehidupan.

GIAT BERLATIH: Maskuji memberi arahan ketika sesi latihan pementasan ‘Tempua Bersarang Rendah’.

PENGARAH: Maskuji Maturon, pengarah ‘Tempua Bersarang Rendah’.




