Maulidur Rasul Kampung Simpangan meriah, pupuk perpaduan masyarakat

TUARAN: Majlis Perarakan Maulidur Rasul 1448 Hijrah di Kampung Simpangan di sini berlangsung meriah dengan penyertaan pelajar, belia dan masyarakat setempat, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan serta kecintaan terhadap Rasulullah SAW.
Majlis yang bermula 7.30 pagi dari Masjid Haji Puteh itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri dilantik Datuk Haji Abdul Kassim Haji Razali.
Turut hadir Pegawai Daerah Tuaran Ibrahim Terki, Datuk Johari Saiman dan Penyelia Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Ustaz Hairumie.
Dalam ucapannya, Kassim mengajak masyarakat Islam mensyukuri nikmat keamanan dan kemakmuran yang dinikmati, selain menghargai peluang untuk bersama-sama dalam program keagamaan.
“Kita bersyukur kerana dapat bangun dari tidur hari ini dan menyertai program. Hargailah nikmat yang Allah berikan, termasuk nikmat tinggal di negeri yang aman di bawah pimpinan yang bijaksana,” katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya menjadikan ilmu dan budaya membaca sebagai panduan dalam kehidupan, selaras dengan wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW, iaitu “Iqra’” yang bermaksud bacalah.
Katanya, masyarakat juga perlu berwaspada terhadap penyebaran maklumat tidak benar di media sosial dan tidak mudah terpengaruh dengan kandungan yang dikongsi tanpa mengetahui kesahihannya.
“Jangan ikut memberi komen hanya kerana mahu dilihat tidak ketinggalan, sedangkan kita tidak pasti akan kebenarannya,” katanya.
Kassim menyeru umat Islam supaya mencari maklumat yang sahih serta mencontohi akhlak Rasulullah SAW sebagai insan yang pengasih dan penyayang.
Perarakan turut diserikan dengan laungan selawat dan kibaran bendera, selain menjadi wadah memperkukuh perpaduan masyarakat setempat.

INGAT PERJUANGAN NABI… Abdul Kassim mengetuai Perarakan Maulidur Rasul 1448 Hijrah peringkat Kampung Simpangan, Tuaran.